KUALA LUMPUR: Penyanyi Amir (Ukay's) memberitahu enggan menyertai semula kumpulan tersebut kerana merasakan tidak lagi sesuai selepas sepuluh tahun tidak bersama mereka.
Amir berkata, penglibatannya bersama kumpulan itu dianggap sebagai sejarah lampau dan dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dengan kembali menganggotai kumpulan tersebut.
"Saya tidak akan kembali kepada Ukay's kerana merasakan tidak lagi sesuai bersama mereka dan ingin bergerak secara solo," ujarnya kepada mStar Online.
Tambahnya, dia bukan bergaduh dengan rakan-rakannya dan memberitahu sehingga kini hubungan itu masih lagi baik.
Amir yang popular dengan lagu Di sana Menanti Di Sini Menunggu berkata, dia tawar hati untuk menyertai Ukay's kerana hampir kesemua ahli asal telah membawa haluan masing-masing dan kumpulan tersebut telah pun diganti dengan muka baru.
"Itu adalah salah satu faktor mengapa saya tidak mahu bersama Ukay's lagi kerana semua anggota asal telah tiada dan rasanya lebih baik bergerak secara solo.
"Kalau nak kata kami semua bergaduh itu memang tidak benar kerana hubungan kami masih baik sehingga kini," ujarnya.
Bagaimanapun Amir memberitahu kumpulan itu masih wujud dan salah seorang ahli lama Ukay's iaitu Amy telah pun mencari bakat-bakat baru untuk memperkenalkan kembali mereka kepada pendengar.
"Mungkin mereka ingin mencuba perkara baru sejajar dengan perubahan muzik semasa dan saya sebagai bekas anggota menyokong usaha itu," katanya.
Dalam pada itu, Amir memberitahu, dia masih lagi sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian walaupun sepi tanpa sebarang publisiti di dalam media massa.
Amir berkata, rezekinya dalam nyanyian tidak pernah putus dan sentiasa menerima undangan terutamanya dalam majlis-majlis korporat.
"Alhamdulillahlah rezeki masih ada walaupun jarang muncul dalam media tetapi itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menghiburkan peminat," ujarnya.
Tambahnya, dia juga sedang merancang untuk menghasilkan sebuah album baru pada tahun ini dan masih mencari syarikat rakaman yang berminat untuk menerbitkannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: