Wednesday, February 1, 2012

Peraduan Gerbang Cinta dilanjutkan


KENANGAN... persandingan pemenang tempat kedua Gerbang CInta Utusan Malaysia, sisipan Mega musim pertama, Md. Izudin Salleh dan Qistina Mohamad Nazri, yang diadakan gilang-gemilang pada tahun 2010.


SELEPAS kejayaan dua musim berturut-turut, peraduan yang cukup dinanti-nantikan oleh pasangan bakal pengantin ini kembali untuk musim ketiga tahun ini.

Menawarkan hadiah lebih lumayan yang keseluruhannya bernilai hampir RM500,000 bagi para pemenang, Gerbang Cinta musim ketiga ini turut menyaksikan kereta dan skuter bakal dimiliki bagi pemenang pertama hingga kelima.

Pengenalan hadiah-hadiah baru tersebut merupakan sebahagian elemen penambahbaikan dalam peraduan musim kali ini.

Berikutan kejayaan penganjuran musim pertama dan kedua yang berjaya menarik kira-kira 10,000 penyertaan, Utusan Malaysia sekali lagi terpanggil untuk terus menganjurkan peraduan ini sebagai salah satu khidmat sosial kepada pembaca setia.

Sehubungan itu, atas permintaan ramai tarikh tutup peraduan Gerbang Cinta Utusan Malaysia musim ketiga yang sepatutnya berakhir hujung bulan ini dilanjutkan sehingga hujung Februari depan.

Dalam masa yang sama, ia juga bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai bakal bergelar raja sehari untuk menyertai peraduan anjuran sisipan Mega ini.

Utusan Malaysia telah menganjurkan Peraduan Gerbang Cinta Utusan Malaysia selama dua musim yang lalu bermula pada tahun 2009.

Masih mengekalkan konsep yang sama seperti musim-musim terdahulu, objektif utama peraduan ini adalah untuk membantu bakal pengantin ke arah membina dan melayari sebuah rumahtangga yang lebih sempurna.

Bagi peraduan musim ketiga ini, sisipan Mega akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merupakan penaja utama peraduan dan Dios Astana Bridal sebagai penaja bersama.

Peraduan turut mendapat kerjasama daripada penaja strategik musim pertama hingga ketiga iaitu Mastar Catering (jamuan), Kampung Pengantin (lokasi), Afidah Khamis (jurusolek), Sri Sutera Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan), D'Sayang Entertainment (sistem bunyi), Dios Astana Bridal (cenderamata), Precious Moments yang mengkhusus dalam pelamin dan dekorasi, Preety Peektures (video perkahwinan) dan Utusan Online (laman sesawang rasmi peraduan).

Selain hadiah kereta dan skuter, tidak ketinggalan hadiah utama pakej perkahwinan bernilai ratusan ribu ringgit meliputi tajaan makanan, lokasi perkahwinan, pelamin, busana pengantin, solekan, fotografi, sistem siar raya, kad jemputan, video dan pakej bulan madu, serta wang tunai.

Peraduan ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pasangan muda yang merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat untuk memenangi pakej perkahwinan lumayan dan diraikan secara gilang-gemilang.

Sementara itu, pasangan bakal pengantin boleh mendapatkan borang penyertaan peraduan di akhbar Utusan Malaysia-Mega yang disiarkan setiap hari dari Selasa hingga Sabtu.

Sekiranya ada pertanyaan lanjut anda boleh hubungi talian 03-9221 0202/0203 (Dino/Lieya).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: