Wednesday, February 1, 2012

Kek coklat Anis penuhi cita rasa


Junaidy Abu Bakar dan Sophiahanis Md. Hanipah memastikan kek coklat keluaran mereka memenuhi cita rasa pelanggan.


KEK coklat yang lembap, lembut, gebu, tidak terlalu manis dan tidak terlalu tawar dengan topping yang banyak dan pekat sudah cukup dapat mengecurkan liur bagi mereka yang memang sukakan kek coklat.

Memang ramai yang sukakan kek coklat terutamanya golongan muda. Kek coklat juga terdapat pelbagai jenis dan rasa. Lain orang lain pula resipi pembuatannya.

Namun untuk mendapatkan kek coklat yang memenuhi cita rasa, harga berpatutan, dibuat oleh orang Melayu dan sentiasa baru (tidak disimpan beberapa hari) agak susah juga.

Bagi mereka yang sukakan kek coklat dan tinggal di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, memang beruntung kerana mudah mendapatkan kek coklat yang lazat ini di Anis Chocolate Melt.

Perniagaan yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Junaidy Abu Bakar, 39, dan Sophiahanis Md. Hanipah, 38, pada bulan Mei 2010 ini tanpa diduga mendapat sambutan yang cukup memuaskan.

Sophiahanis yang pernah bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat petroleum negara sanggup berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh masa kepada perniagaan.

Dia yang membuat kek coklat selama empat tahun di rumah dengan dibantu pembantu nekad berhenti kerja kerana permintaan yang banyak dan setelah mengikuti kursus motivasi daripada pakar motivasi terkenal.

Produk pertama mereka, iaitu kek coklat bertopping sentiasa laris dan dibeli pelanggan yang pernah merasai kek tersebut.

''Resipi asal kek ini ialah kek bakar tetapi kami olah dengan mengukukusnya. Alhamdulillah rasanya memenuhi selera pelanggan. Kata pelanggan, mereka puas memakan kek ini kerana toppingnya banyak.

''Setiap hari kilang kami mengeluarkan sebanyak 3,000 biji kek coklat yang kami buat dalam tiga saiz dan dijual pada harga RM10, RM5 dan RM2 (harga pengedar dan dibeli minimum 20 biji).

''Kek-kek ini memang habis malah tidak cukup kerana ada pelanggan dan pengedar yang marah kerana lambat membuat pesanan. Sebab itu kek kami adalah segar kerana tidak pernah disimpan walau sehari.

''Mereka yang bekerja dan tidak sempat bersarapan di rumah, membeli kek ini di Petronas dan memakannya di dalam kereta,'' kata Junaidy yang merupakan bekas pengurus sumber manusia di sebuah syarikat multinasional.

Menurut Junaidy lagi, selain dibeli oleh orang perseorangan, kek coklat Anis turut dihantar ke 100 buah stesen Petronas di Lembah Klang, ke pejabat-pejabat, institusi pengajian tinggi, kafe, kolej dan restoran di sekitar Shah Alam.

Kek coklat Anis turut terdapat di stesen Petronas Manjung, Ipoh, Perlis, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan.

Katanya, memandangkan sambutan yang baik, pada bulan Jun hingga Disember tahun lalu, mereka telah memulakan skim tanpa modal bagi membantu mereka yang ingin memulakan perniagaan tanpa modal.

Melalui skim tersebut, ujar Junaidy, individu yang berminat boleh mengambil 15 biji kek pada harga RM2 sebiji untuk dijual dahulu tanpa perlu membayar. Bayaran hanya dibuat setelah kek habis dijual.

''Dengan skim tersebut, kami dapat mengumpul sebanyak 250 orang usahawan di seluruh Selangor. Melalui cara ini, kami dapat berkongsi dengan masyarakat serta menggalakkan orang untuk berniaga,'' tambah Junaidy lagi.

Dari sebuah kedai, perniagaan Anis Chocolate Melt ditambah kepada sebuah lagi kedai apabila mereka membuat kuih tat nanas pula.

Seperti kek coklat, kuih tat nanas ini juga begitu laris kerana dibuat mengikut resipi tradisional yang hanya menggunakan mentega tulen, jem nanas yang dibuat sendiri dan berbentuk bunga.

Selain itu, keistimewaan kek coklat dan tat nanas keluaran Anis Chocolate Melt ialah tidak mempunyai bahan pengawet.

Pastri kuih tat ini memang sedap, rangup dan cukup lemak ditambah dengan jem yang banyak di tengah-tengahnya. Ia merupakan resipi warisan selama 30 tahun. Untuk 24 keping kuih tat ini hanya dijual pada harga RM15 sahaja.

Kata Junaidy, sekarang ini memang susah hendak mendapatkan tat bunga kerana kebanyakan pengusaha biskut raya membuat tat gulung. Mereka yang sudah biasa memakan tat bunga tetap mahukan tat tersebut kerana rupa dan rasanya memang berbeza.

Kuih tat nanas ini, jelasnya mendapat banyak permintaan daripada pelanggan di Singapura dan Medan yang pernah merasainya semasa membelinya di stesen Petronas.

''Mereka yang mahu menjadikan tat ini sebagai hadiah atau hantaran, boleh menghantar bekas kepada kami dan kami akan isikan dengan kuih tat ini,'' ujar Sophiahanis .

Jika anda ingin merasai kek coklat dan kuih tat nanas keluaran Anis Chocolate Melt ini boleh menghubungi Junaidy dan Sophiahanis di 016-2638546 atau 013-3566966.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: