penduduk-bantah-tanah-mereka-diberi-milik-kepada-orang-lain

GUA MUSANG – Sekumpulan seramai 15 penduduk terkejut apabila tanah seluas 40 hektar yang mereka usahakan dengan kebun getah sejak enam tahun lalu di Kampung Sungai Raya, dekat sini, disodok sebuah syarikat ketika membawa seorang juru ukur bagi menjalankan kerja mengukur tanah itu, pagi semalam.

Perkara itu disedari apabila salah seorang penduduk menerima surat daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang bertarikh 20 November lalu menetapkan tarikh 13 Feb (hari ini) untuk kerja mengukur tanah itu, tetapi sudah dimajukan sebuah syarikat bagi pembangunan ladang sawit.

Berikutan itu, juru ukur yang bertugas di Pejabat Tanah dan Jajahan itu juga enggan menjalankan kerja mengukur sebaik tiba di kawasan tanah berkenaan dengan alasan sukar menjalankan tugasnya selepas turut menyedari berlaku perkara itu.

Seorang penduduk, Hamidah Abdullah, 63, berkata, tanah itu diterokai beramai-ramai sejak tahun 2006 lagi membabitkan keluasan 2.4 hektar bagi seorang penduduk dan hampir keseluruhan tanah di situ sudah ditanam dengan getah.

Katanya, bayaran deposit sebanyak RM1,995 untuk 2.4 hektar bagi setiap penduduk terbabit juga telah dibuat pada tahun berkenaan tanah bagi mendapat hak milik, namun kecewa tanah itu dipagar dipercayai sudah menjadi milik Yayasan Amal Malaysia.

“Dipercayai yayasan terbabit memberi pajak pula kepada syarikat lain untuk pembangunan ladang sawit mulai akhir tahun lalu dan ketika itu mak cik tidak tahu tanah berkenaan menjadi milik Yayasan Amal Malaysia walaupun kita sudah membayar depositnya.

“Apa yang lebih mengejutkan lagi, sebaik mak cik membawa seorang juru ukur dari Pejabat Tanah dan Jajah Gua Musang pagi ini bagi menjalankan kerja mengukur selepas menerima surat kelulusan mendapat milik tanah berkenaan mendapati kawasan tanah itu dipagar syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai notis diletakkan di pintu pagar kawasan yang baru disodok syarikat terbabit termasuk memberi amaran kepada penduduk berkenaan jangan menceroboh tanah itu yang menjadi miliki Amal Malaysia.

Mat Jusoh Daud, 65, pula berkata, kumpulan penduduk itu termasuk diri beliau sendiri sudah berpuluh kali berulang alik ke Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Pejabat tanah dan Jajahan Gua Musang bagi menyelesaikan tanah itu.

Beliau berkata, pelbagai alasan diberikan beberapa pegawai pejabat Menteri Besar sebelum mengarahkan penduduk bertemu pula dengan pegawai di pejabat tanah hingga terpaksa menemui mereka berulang kali.

“Akhirnya November tahun lepas, salah seorang daripada kumpulan kami menerima surat daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang yang menyatakan tanah itu sudah diluluskan dan kerja mengukur ditetapkan hari ini.

“Apabila penduduk itu membawa bersama juru ukur dari pejabat terbabit yang tiba jam 9.30 pagi di kawasan terbabit mendapati tanah kami sudah disodok sebuah syarikat menyebabkan juru ukur itu enggan lagi keluar dari kenderaan sebelum berpatah balik pula ke pejabatnya,” katanya.