KLUANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara memperuntukkan RM150,000 untuk pembaikan aset landskap di Taman Awam Kaki Gunung Lambak dekat sini.
Ahli Parlimen Kluang, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata, peruntukan tersebut merangkumi penyelenggaraan beberapa infrastruktur iaitu di jambatan gantung, laluan trek mendaki sejauh 125 meter panjang, kolam water park, peralatan permainan kanak-kanak, lampu dan wakaf di gunung berkenaan.
“Kerja-kerja penyelenggaraan yang bermula pada awal Februari itu kini sedang giat dijalankan dan dijangkakan pada Mac atau April kerja-kerja tersebut dapat disiapkan.
“Jika kerja-kerja penyelenggaraan tersebut sudah siap, maka kawasan Gunung Lambak ini akan bertambah cantik dan boleh menarik lebih ramai lagi pengunjung untuk datang,” katanya kepada media sewaktu lawatan kerja beliau ke Gunung Lambak Eco Resort, petang kelmarin.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Ahmad Ma’in dan ahli-ahli majlis bagi setiap kawasan di bawah pentadbiran MPK.
Dalam pada itu, Kok Chung berkata, Gunung Lambak sememangnya tempat riadah yang sentiasa dikunjungi warga Kluang terutama pada hujung minggu.
“Jika hari Sabtu dan Ahad, mesti ramai yang datang ke situ untuk beriadah seperti mendaki gunung, mandi manda dan bersenam.
“Oleh yang demikian, kawasan Gunung Lambak ini perlu dibaik pulih dari segi infrastruktur agar ia lebih cantik dan lebih ramai lagi pengunjung boleh datang ke sini,” katanya.
Selain itu, Kok Chung berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan MPK dan jabatan-jabatan lain untuk menganjurkan aktiviti bagi menarik minat orang ramai datang ke gunung berkenaan.
Beliau berkata, jika dilihat dari awal gunung itu dibuka hingga kini, kehadiran pengunjung yang datang begitu memberangsangkan kerana lokasinya sesuai untuk beriadah dan menganjurkan aktiviti.
“Dalam pada itu, Gunung Lambak juga ada menyediakan chalet bagi pengunjung yang mahu menginap di sini, malah kemudahan water park juga ada disediakan untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
“Kami juga akan membenarkan mana-mana pihak untuk menganjurkan aktiviti di kawasan gunung ini. Malah, seandainya ada peruntukan, kami akan menambah baik lagi kawasan Gunung Lambak ini,” katanya.
Tuesday, February 14, 2012
Landskap Gunung Lambak giat dibaik pulih melalui dana RM150,000 daripada KPKT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: