Pegawai palsu peras pekedai

TELOK KEMANG – Der­ma ikhlas RM1,000 untuk dimasukkan dalam tabung anak yatim. Itulah tawaran menggantikan kompaun yang dikenakan tiga individu menyamar sebagai pegawai Jabatan Kesihatan negeri terhadap seorang peniaga kedai makan di Batu 8, dekat sini.

Tidak cukup dengan itu, pegawai kesihatan palsu itu turut meminta makan dan minuman percuma selepas peniaga berkenaan hanya mampu menderma RM50 sahaja.

Kejadian Isnin lalu berlaku kepada Maimon Bacheck, 64, selepas didatangi dua lelaki dan seorang wanita dianggarkan antara lewat 30-an dan 50-an ke gerainya, kira-kira 1 petang.

Menurut Maimon, semasa kejadian, dia tidak berada di kedai, sebaliknya ia diuruskan anak dan menantunya.

“Individu terbabit yang berpakaian kemas itu pada mulanya berlagak seperti pelanggan dengan memesan makanan serta minuman. Selesai makan, mereka memperkenalkan dirinya sebagai Pegawai Kesihatan Daerah Port Dickson dan mahu membuat pemeriksaan ke atas kedai makan saya,” katanya.

Katanya, salah seorang daripada pegawai itu kemudian menghubunginya selepas anak Maimon enggan menerima surat sama dikeluarkan.

“Pegawai itu memberitahu kedai saya melanggar beberapa peraturan lesen perniagaan dan dikenakan kompaun sebanyak RM3,000. Mendengar jumlah kompaun yang besar dan tidak munasabah itu, saya terkejut dan bergegas ke kedai bertemu pegawai terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedainya, semalam.

Maimon berkata, setibanya di kedai, pegawai berkenaan bertanyakan bermacam-macam termasuk lesen perniagaan dan surat kesihatan.

Malah, katanya, pegawai wanita itu bertindak masuk ke bahagian dapur memeriksa dan menulis senarai kesalahan di atas sebuah kertas dalam buku nota, lalu diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, Maimon hairan apabila pegawai wanita itu memberitahu akan mengabaikan kompaun berkenaan atas dasar kemanusiaan, sebaliknya dia perlu menyumbang derma ikhlas sebanyak RM1,000 untuk anak yatim dan ibu tunggal.

“Pegawai itu turut menunjukkan resit derma, tetapi saya hanya membayar sebanyak RM50 sehingga pegawai terbabit persoalkan jumlah berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka kemudian bersetuju menerima RM50 saja, dengan syarat makanan dan minuman mereka tadi tidak dikenakan bayaran,” katanya.

Maimon berkata, sebelum meninggalkan kedai, dia bertanya sebab hanya kedainya saja diperiksa, sedangkan kedai lain tidak.

“Pegawai itu memberitahu, operasi seperti ini tidak boleh dijalankan serentak bagi mengelakkan pemilik premis kedai tahu pemeriksaan sedang dijalankan,” katanya.

Musykil dengan tindakan pegawai terbabit, Maimon kemudian merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah keesokan hari dan terkejut apabila mendapati pegawai dan resit bayaran berkenaan bukan daripada mana-mana cawangan Jabatan Kesihatan.

Menyedari kemungkinan ditipu, Maimon membuat laporan di Balai Polis Telok Kemang, di sini.