KUANTAN – “Setiap hari saya berdoa supaya dikurniakan kesihatan yang baik demi menjaga anak istimewa saya, Rohaya Abdul Aziz, 45,” kata Rafeah Yon, 65, yang tinggal di Felda Bukit Goh di sini.
Menurutnya, Rohaya yang lebih selesa berdamping dengan ibunya itu tidak mahu diuruskan oleh sesiapa menyebabkan Rafeah tidak boleh bergerak ke mana-mana.
“Sejak lahir saya sentiasa berada di samping dia dan sudah faham sangat perangai anak saya ini yang kadang kala mengamuk jika sesuatu tidak kena pada hatinya.
“Sukar untuk saya tinggalkan dia kerana dia boleh mencederakan diri sendiri jika kemahuannya tidak dituruti,” katanya.
Rohaya turut mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah yang turut hadir menyampaikan sumbangan berupa lampin pakai buang.
Hadir sama, Ketua Kampung Bukit Goh, Mat Zahari Deraman.
Dia berkata, selain itu, Rohaya yang juga anak sulung dari tiga beradik itu hanya mampu meniarap sahaja memandangkan anggota badan sebelah bawah tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Menangis dan mengamuk adalah perasaan yang boleh ditunjukkan oleh Rohaya jika dia mahukan sesuatu seperti makan, minum dan sakit.
“Jika saya tiada lagi di dunia ini, saya harap supaya insan terdekat dengan kami boleh jaga dia sebagaimana saya menjaganya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: