BUKIT MERTAJAM – Perbuatan merosakkan harta benda awam atau vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan pagar yang menutupi sub stesen Tenaga Nasional (TNB) berhampiran tiga sekolah dekat Bukit Minyak, di sini, roboh.
Ia membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah di sana.
Seorang waris, Shahidan Sheriff, 41, berkata, keadaan itu sudah pun berlarutan sejak kira-kira tiga tahun lalu, namun, hingga kini tiada pihak yang mengambil inisiatif untuk membaikinya.
Menurutnya, dia bimbang jika murid sekolah menceroboh masuk ke dalam sub stesen berkenaan.
“Pada mulanya, pagar ini roboh sedikit sahaja. Tapi, lama-kelamaan ia menjadi semakin parah hingga hampir keseluruhan pagar ini diruntuhkan.
“Sudah banyak kali saya lihat murid, terutamanya sekolah rendah bermain-main di dalam kawasan berkenaan ketika menunggu ibu bapa atau van datang menjemput mereka selepas tamat sesi persekolahan.
“Jika mereka sekadar bermain di luar tidak mengapa, tetapi, jika suatu hari nanti pintu sub stesen ini pula dipecahkan bagaimana pula?” katanya kepada Sinar Harian.
Shahidan berkata, amat mengecewakan apabila perkara itu hanya dipandang sebelah mata dan dibiarkan berlarutan dalam tempoh masa yang lama tanpa ada tindakan segera dari pihak bertanggungjawab.
Dalam masa sama, dia turut melahirkan kebimbangan akan keselamatan murid yang sering bermain di dalam kawasan itu.
Dia yang mempunyai tiga anak yang bersekolah di situ berkata, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dalam memantau murid, khususnya sekolah rendah kerana mereka masih kecil dan tidak faham akan bahaya yang menanti.
Sehubungan itu, dia amat berharap agar perkara itu mendapat perhatian serius TNB dan mengambil tindakan segera dengan membaiki pagar yang rosak itu.
Ia bagi melindungi semua pihak dari terdedah dengan risiko kemalangan kerana katanya, apa saja boleh berlaku.
Dan, jika tindakan hanya diambil selepas kemalangan berlaku, ia sudah tidak berguna lagi.
Tuesday, February 14, 2012
Pagar roboh ancam keselamatan murid sekolah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: