padah berhibur

GEORGETOWN – Gara-gara mengadakan hiburan awam tanpa berlesen, seorang lelaki berusia 40 tahun dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Georgetown akibat kesalahan itu.

Tertuduh, Lew Yew Fuat didapati melakukan kesalahan tersebut pada 7 Februari 2012 bermula jam 10.25 malam.

Yew Fuat ditahan melakukan kesalahan tersebut di Lorong Aboo Siti Georgetown.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mengadakan hiburan awam tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Tertuduh di dapati mengadakan hiburan muzikal di dalam premis yang mana terus disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (a) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998 dan boleh dihukum di bawak Seksyen 6 (2) enakmen yang sama.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang datang dengan berpakaian kemas mengaku bersalah namun meminta supaya hukuman diringankan.

“Saya memohon kepada mahkamah supaya ringankan hukuman saya kerana ini adalah kesalahan pertama saya.

“Tujuan saya mengadakan hiburan ini hanyalah untuk mencari duit untuk menanggung keluarga sahaja.

“Saya tiada niat lain, saya hanya ada anak-anak dan saya berharap supaya hukuman diringankan,” katanya.

Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 kepada tertuduh.

Sekiranya gagal bayar, tertuduh akan dikenakan penjara selama empat bulan.