Wednesday, February 8, 2012

Nora Danish tak kemaruk cari jodoh


NORA mengakui baru semalam dia meraikan harijadi ibu Jejai.


PELAKON cantik manis Nora Danish Mohd Hanif, 29, sering sahaja berdepan dengan gosip-gosip nakal mengenai kisah peribadinya. Ada sahaja yang ingin menyelak diari kehidupan ibu tunggal jelita itu sejak dia bercerai dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 35, pada tanggal 12 Ogos 2008.

Satu persatu gosip mengenai dirinya keluar di dada akhbar. Daripada cerita mengenai bekas suaminya Jejai menghadiahkannya kereta mewah baru-baru ini, gosip percintaannya dengan kerabat yang berasal dari Terengganu dan terkini dengan pemain bola sepak kacak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, 23.

Kosmo! berjaya menghubungi Nora Danish semalam dan seterusnya merungkai segala gosip yang membelenggu diri ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 4, itu.

Kosmo!: Baru-baru ini timbul cerita mengenai Nora Danish dan Apek saling berbalas Twitter dan mesej di Facebook. Malah, Nora juga pernah bertemu dan berkenalan dengan Apek? Benarkah?

NORA: Selepas gosip itu keluar saya menerima terlalu banyak mesej dan panggilan bertanyakan hal saya dan Apek. Saya terkilan kerana berita mengenai saya dan Apek saling berkenalan dan pernah bertemu sama sekali tidak benar. Saya cuma bangga dan menghormati dia sebagai pemain bola sepak yang bagus. Saya simpati dengan nasib Apek kerana sering dikaitkan dengan ramai wanita termasuk diri saya sedangkan perkara tersebut tidak benar.

Kenapa Nora cakap berita mengenai Apek dengan beberapa wanita yang pernah muncul di dada-dada akhbar tidak benar? Adakah Nora benar-benar mengenali Apek?

Satu persatu cerita mengenai dia dengan wanita itu dan ini timbul. Selepas itu, timbul kenyataan wanita atau Apek menafikannya. Nampak sangat cerita itu tidak benar dan ada orang yang cuba menjatuhkan reputasi dia sebagai pemain bola sepak Malaysia.

Jadi, bagaimana gosip mengenai Nora dan Apek boleh timbul jika ia tidak benar?

Orang yang menulis atau yang menyebarkan cerita itu sengaja mereka-reka cerita. Malah, mereka tidak pernah tanya saya sendiri mengenai perkara itu. Saya jarang tengok perlawanan bola sepak tetapi bila saya tengok perlawanan sengit dan hebat Malaysia menentang Indonesia saya terus minat. Daripada situ, saya mula kenal Apek dan Safee Sali sebagai pemain bola sepak yang bagus. Selepas itu, saya ada tulis Tweet mengenai dua pemain itu. Malah, pernah pergi bersama teman-teman menonton perlawanan bola sepak Malaysia menentang Singapura pada 28 Julai lalu. Mungkin, daripada situ mereka mula menyebar cerita sedangkan saya dan Apek tidak pernah berkenalan dan bertemu.

Selain cerita itu, baru-baru ini Kosmo! dapat tahu Jejai ada membeli sebuah kereta mewah untuk Nora. Benarkah?

Ini juga cerita yang tidak benar sama sekali. Saya tidak menerima kereta mewah daripada dia (Jejai). Memang kami masih berhubung dan hubungan kami rapat walaupun sudah bercerai. Jadi, saya ada minta pandangannya mengenai kereta kerana saya tahu dia mahir mengenainya. Malah, saya ada minta tolong dia tempah kereta untuk saya tetapi saya yang akan membayarnya bukan dia. Namun, selepas uji pandu kenderaan tersebut, saya tidak jadi membelinya kerana merasakan kenderaan tersebut kecil berbanding kereta yang saya bawa sekarang.

Kereta jenis apa yang Jejai tempah dan apakah jenis kenderaan yang digunakan Nora sekarang?

Tak payahlah saya beritahu kereta apa yang ditempah Jejai itu. Sekarang saya memandu kenderaan Mercedes Benz ML.

Jadi, jika bukan dengan Apek, Nora bercinta dengan siapa sekarang ini?

Saya tidak terburu-buru ingin mencari jodoh. Malah, saya tidak mahu fikir lagi mengenai hubungan cinta. Apa yang penting sekarang adalah keluarga dan kerjaya.

Maaf bertanya. Fasha Sandha dengan Jejai khabarnya akan berkahwin sekitar bulan April ini di Jakarta, Indonesia. Apa komen Nora?

Maaf, saya tak mahu komen mengenai mereka.

Khabarnya hubungan Nora dengan bekas mertua juga begitu baik sehingga kini. Malah, Kosmo! dapat tahu Nora meraikan hari jadi bekas ibu mertua, Puan Sri Noor Ashikin Raja Abdullah hari ini (semalam)?

Ya, saya meraikan harijadi ibu Jejai tadi (semalam) di Restoran Pegaga, Hulu Klang, Selangor. Hari jadi dia pada bulan Januari lalu tetapi saya meraikannya pada hari ini (semalam). Saya juga membawa ibu saya bersama-sama.

Boleh Nora ceritakan mengenai perkembangan kerjaya terkini?

Saya baru sahaja habis menjalani pengambaran telefilem Jujur Aku Dayus bersama pelakon Beto Kusyairi untuk slot Cerekarama 11 Februari ini. Memang sudah lama saya teringin berlakon di samping Beto dan peluang itu kini tiba. Selepas bercuti rehat dari 5 hingga 15 Februari ini saya akan ke lokasi penggambaran filem Aku Terima Nikahnya yang menggandingkan saya dengan pelakon Adi Putra. Alhamdulillah, tawaran lakonan datang tak putus-putus malah saya banyak menerima watak berat berbanding dulu yang lebih kepada watak-watak gadis comel dan periang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: