Wednesday, February 8, 2012

Matlamat murni Cinta Masjid


JAMIL (kiri) dan Bukhari (kanan) merasmikan papan tanda di hadapan Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEBAGAI satu-satunya stesen televisyen siaran percuma yang berlandaskan syariah Islam, TV AlHijrah memperkenalkan sebuah program yang mengimarahkan institusi masjid dengan memperkenalkan sebuah program baharu iaitu Cinta Masjid.

Mungkin jika sebelum ini ada yang menganggap masjid hanya untuk menunaikan solat dan ilmu agama. Namun, sebenarnya masjid juga boleh menjadi pusat perkembangan ilmu dan kegiatan masyarakat setempat.

“Cinta Masjid bertujuan untuk memperlihatkan masjid-masjid yang mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh dijadikan masjid contoh oleh yang lain. Melalui program ini juga, masyarakat dapat perkongsian dari segi fakta dan usaha menjadikan institusi masjid sebagai pusat ekonomi, pendidikan, dan menghidupkan masjid seperti yang dituntut oleh agama Islam,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Che Bukhari Che Muda.


PELANCARAN program Cinta Masjid turut dimeriahkan dengan sudut pameran buku.


Antara aktiviti yang diadakan selama dua hari berturut-turut pada 4 dan 5 Februari lepas itu ialah aktiviti gotong-royong yang membersihkan kawasan masjid, majlis penyembelihan lembu untuk kenduri bersama masyarakat setempat, pertandingan azan dan mewarna bagi kanak-kanak.

Sementara, aktiviti lain yang diadakan adalah seperti aktiviti yang melibatkan kerjasama erat antara TV AlHijrah dan kariah serta jawatankuasa masjid yang termasuklah siaran secara langsung program berselawat sempena Maulidur Rasul pada hari pelancaran tersebut iaitu program Kuala Lumpur Berselawat.

Pada hari tersebut juga diadakan rakaman program hiburan Islam iaitu Program Dikir Zikir yang akan ditayangkan di saluran TV AlHijrah tidak lama lagi. Program Cinta Masjid juga tidak ketinggalan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mengenali personaliti TV AlHijrah seperti Ustaz Don, Chef Iskandar (hos program Menu Alam), Wan Kamaruddin (hos Khidmat Syariah), Amin Idris, Shahrul Faizi dan Irma Hasmie (hos bersama Assalamualaikum).


USTAZ Don tidak ketinggalan muncul untuk menyampaikan ceramahnya kepada hadirin yang datang.


Pelancaran Cinta Masjid telah dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertempat di Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur sebagai masjid pertama yang dipilih untuk menerima kunjungan TV AlHijrah.

Menurut Che Bukhari, program Cinta Masjid sebagaimana dirancangkan akan dijalankan sebulan sekali sehingga hujung tahun 2012.

“Insya-Allah jika kami masih mendapat tajaan daripada mana-mana syarikat, akan kami teruskan program ini. Namun, buat masa ini, program ini merupakan kolaborasi TV AlHijrah dan Kumpulan Karangkraf. Ini merupakan program kedua terbesar yang pernah TV AlHijrah anjurkan.

“Pertama kali di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sempena menyambut hari ulang tahun pertama TV AlHijrah yang jatuh pada hari Maal Hijrah tahun lepas. Alhamdulillah sambutan masyarakat sangat menggalakkan serta kehadiran pada hari tersebut juga dianggarkan mencecah seramai 200,000 hingga 300,000 orang,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: