Friday, February 17, 2012

Nilai hidup kian merosot


kemerosotan akhlak dan nilai keperibadian anak muda, khususnya wanita, masa kini menyebabkan mereka mudah terjebak dengan aktiviti tidak bermoral. - Gambar hiasan


RAMAI yang merasakan generasi muda hari ini, tanpa mengira bangsa dan kepercayaan agama, semakin tidak mempercayai nilai kehidupan ideal yang dijalani nenek moyang mereka.

Apabila memikirkan mereka, perkara pertama yang terlintas ialah kemerosotan akhlak dan nilai keperibadian anak muda masa kini.

Golongan muda hari ini ialah pemimpin masa depan dan di bahu mereka terletak tanggungjawab untuk mengekalkan serta memulihara legasi sosial dan budaya masyarakat.

Bagaimanapun ramai merasakan bahawa jika pelbagai masalah sosial yang dihadapi golongan muda hari ini mahu dijadikan ukuran, maka mereka menuju jalan yang salah.

Apa pun, adakah hanya mereka yang harus dipersalahkan terhadap masalah sosial yang dihadapi masyarakat sekarang?

Sebelum menuding jari terhadap golongan muda ini, kita patut meneliti pelbagai aspek kehidupan yang ligat berputar dan persekitaran yang pesat membangun kini, kerana ada yang semakin menjadi tidak relevan, yang tidak lagi menjadi keutamaan, dan aspek kehidupan yang baru muncul yang tidak begitu dapat diterima kalangan generasi dewasa.

Kehidupan hari ini dipenuhi dengan banyak cubaan dan cabaran, maka pilihan yang tepat akan memastikan arah tujuan yang betul.

Golongan muda, termasuk pelajar dan siswazah, dilihat sebagai golongan yang mudah dipengaruhi dalam membuat pilihan dan keputusan yang betul.

Pilihan mereka dalam menjalani kehidupan berkait rapat dengan peraturan dan larangan yang perlu mereka patuhi pada setiap peringkat usia muda.

Waktu "curfew" atau had waktu bebas sebelum berkurung di rumah adalah contoh terbaik.

"Kebanyakan universiti awam mempunyai waktu kurungan bagi mereka yang menginap di asrama kampus. Pukul 11 atau 12 tengah malam merupakan waktu paling lewat untuk seseorang itu memasuki perkarangan universiti. Ini ditetapkan di UiTM dan UUM antaranya," jelas seorang gadis baru-baru ini.

Besar pengaruhnya jika lokasi kolej atau institut pengajian tinggi seseorang pelajar itu terletak di bandar-bandar besar.

"Ada kawan sekuliah saya yang tidak balik ke kolej sehingga pukul 6 pagi keesokannya. Entahlah dia ke mana dan buat apa, tapi dia kata dia bermalam di restoran makanan segera yang buka 24 jam," jelas seorang siswazah tahun satu di Selangor yang hanya ingin dikenali sebagai J. Liyana, 19.

Kelas bermula pukul 8 atau 9 pagi jadi pelajar-pelajar yang bermalam di luar kolej masih sempat menghadiri kuliah pada keesokan harinya, katanya.

Tempat-tempat hiburan sebelum ini diarah mematuhi waktu operasi yang ketat; mereka perlu tutup pukul 1 pagi selewat-lewatnya.

Bagaimanapun ada pusat hiburan yang kini dibuka hingga lewat 3 pagi, terutama yang beroperasi di kawasan tumpuan pelancong, menurut seorang petugas sebuah firma keselamatan di Selangor.

Dan inilah yang membuatkan anak muda tempatan turut berada di luar kampus hingga lewat malam.

Apakah tujuan anak-anak muda ini berbuat demikian? Adakah tindakan mereka bermalam di luar kolej semata-mata mahu belajar berkumpulan atau mahu berseronok di luar kerana menganggap diri mereka sudah cukup dewasa untuk bebas?

Penulis pernah berdepan dengan situasi ibu bapa diajukan soalan tentang cara memastikan anak mereka yang semakin meningkat dewasa untuk mendengar kata. Seorang daripada mereka memberikan respons bahawa cara membesarkan anak-anak hari ini berbeza dengan dahulu, pendekatan yang perlu digunakan juga harus berlainan.

Mungkin disebabkan terlalu banyak dugaan daripada kemudahan yang tersedia di luar sana, yang mudah mempengaruhi golongan muda ini, untuk tidak menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kerjaya mereka.

Apa pula kata orang muda hari ini tentang istilah akhlak dan pentingnya agama di dalam kehidupan mereka? Adakah mereka merasakan nilai-nilai murni dan agama masih relevan dalam kehidupan seharian mereka?

"Akhlak sangat relevan dan akan sentiasa relevan kepada saya, baik dari aspek persendirian mahupun di tempat kerja, lebih-lebih lagi pekerjaan saya sebagai seorang juruaudit di Lembah Klang ini. Saya dianggap sebagai contoh atau role model.

"Saya perlu memastikan saya ada prinsip yang kukuh - berintegriti, jujur, berdisiplin, boleh dipercayai - dan saya tegas dan bertanggungjawab.

Orang yang berakhlak baik boleh disamakan dengan permata berharga yang sukar ditemui," jelas juruaudit Zinnirah Abbas, 35, yang menetap di Bandar Utama.

Gadis ini berkata agama bersama pendidikan dan latar belakang keluarga yang baik memainkan peranan besar dalam membentuk keperibadian akhlak dan etika profesional seseorang itu.

Suhana Lina Sarkawi dari Sarawak percaya seorang insan yang mengamalkan nilai agama yang kuat akan mempertahankan akhlak diri yang mulia.

"Agama ialah cara hidup. Akhlak itu mencerminkan sikap atau tingkah laku seseorang yang mempengaruhi tahap penyesuaian dirinya terhadap keadaan sekeliling. Asalkan ia seiringan dengan ajaran agama, pasti akhlak tidak mudah rosak," katanya.

Harta dan akhlak

Pemerhatian sesetengah pihak terhadap mereka yang tinggal di rumah mewah dan berharta, lebih mudah terdedah kepada pengaruh yang meruntuhkan akhlak, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai kemewahan itu lebih kukuh memelihara akhlak dalam keadaan yang penuh dugaan ini.

Kebenarannya tidaklah mutlak kerana persekitaran bukanlah semata-mata faktor yang mempengaruhi akhlak seseorang, kerana ia juga bergantung kepada pilihan individu.

"Perkara yang bersangkutan dengan akhlak ini agak kompleks tetapi mereka yang sentiasa akur perintah agama, pasti terpelihara akhlaknya. Pendidikan dan cara seseorang itu dibesarkan turut memberikan impak. Sebagai manusia, kita harus membuat pilihan yang seimbang untuk terus hidup dengan aman dan bertatasusila tinggi. Sekali lagi ia satu persoalan pilihan," sambung Suhana, sambil berkata adalah penting bagi orang Islam mendalami kefahaman tentang agama.

Akhlak yang baik dan budi pekerti yang tinggi pasti akan menjadikan seseorang itu contoh atau model terbaik untuk masyarakat.

Berakhlak baik tidak bererti seseorang itu menolak pemodenan.

Kesimpulannya, keperibadian akhlak membentuk golongan muda yang berjaya dalam menentukan masa depan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: