Friday, February 17, 2012

25,000 pelajar dapat keahlian Tutor Online


Mohd. Ali Rustam mendengar penerangan Fareed Ghani (kanan) sambil diperhatikan oleh Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (belakang, tiga dari kiri) selepas majlis pelancaran Program Pembelajaran di Dalam Talian (Tutor Online) di Melaka, semalam.


MELAKA 16 Feb. - Seramai 25,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka akan mendapat pakej keahlian program pembelajaran dalam talian, Tutor Online keluaran anak syarikat Kumpulan Utusan, Perfisio Solutions Sdn. Bhd.,

Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCosT) akan bekerjasama dengan Perfisio Solutions Sdn. Bhd., untuk menyelaras dan menguruskan pengagihan keahlian sistem e-pembelajaran Tutor Online di seluruh negeri ini.

Ketua Eksekutif MiCosT, Dr. Mohd. Aluwi Sari berkata, program itu dilihat paling efektif dalam membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, Tutor Online juga dapat mengurangkan perbelanjaan berbanding membayar yuran tuisyen untuk setiap subjek yang diambil, malah ia juga menjimatkan masa tanpa perlu ibu bapa menghantar dan mengambil anak dari kelas tuisyen.

"Saya lihat dengan hanya membayar RM150 setahun, pelajar boleh mengakses latih tubi. Ia lengkap dan mantap serta memberi manfaat kepada mereka menggunakan bahan pembelajaran untuk meningkatkan prestasi.

"Kami juga menggalakkan ibu bapa, guru-guru dan pelajar untuk menggunakan Tutor Online dalam menghadapi UPSR, PMR dan SPM tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tutor Online yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Sahabudin, Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pegawai Operasi Perfisio Solutions Sdn. Bhd., Fareed Abd. Ghani.

Seramai 50 murid SK Tun Syed Ahmad Sahabudin dipilih menerima keahlian Tutor Online secara percuma yang ditaja sepenuhnya oleh MiCosT.

Mengulas lanjut Mohd. Aluwi berkata, Tutor Online boleh membantu pelajar yang menghadapi SPM meningkatkan pencapaian lima kredit dalam subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Biologi dan Kimia.

Menurutnya, pencapaian lima kredit itu akan memudahkan pelajar layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Mengenai keahlian Tutor Online di negeri ini katanya, MiCosT akan memilih antara lima atau enam sekolah di setiap DUN dengan lima hingga 20 pelajar akan dipilih menerima tajaan pakej tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: