Saturday, February 4, 2012

Mesti Tonton: Nilai kasih seekor kuda perang

pix_gal0
Spielberg angkat kisah hubungan haiwan, manusia yang menyentuh rasa

BAYANGKAN, seekor kuda mampu menghentikan sebuah peperangan dan haiwan yang dianggap teman setia itu turut dijadikan metafora dalam hasil kreativiti terbaru Steven Spielberg, berjudul War Horse.
Pengalaman menonton filem ini lebih menyeronokkan apabila dipaparkan tingkah laku bijak seekor kuda yang seolah-olah tahu apa yang sedang melanda sebuah negara yang dicengkam peperangan. Kuda yang dipaparkan bukan saja mampu mengikut arahan, tetapi bijak menyesuaikan keadaan dengan tindakannya yang cukup luar biasa.
Mendengar, frasa ‘perang’ sesiapa saja pasti menyangka genre yang dibawakan oleh pengarah terkenal ini cukup berat, tetapi ia tidak benar sama sekali. Apa yang diangkat oleh Spielberg ialah nilai kasih sayang sepanjang filem itu menemui penonton.

Memaparkan seekor kuda bernama Joey, ia seperti watak utama dalam filem itu apabila membawa jiwa penonton menakluki nilai kasih sayang sebenar. Kejayaan seekor kuda yang semangatnya diperlihatkan daripada babak demi babak yang divisualkan menguatkan lagi kebenaran bahawa kasih sayang ialah segala-galanya di dunia ini.

Dalam karya yang memaparkan peperangan besar yang melanda England dan Jerman, Spielberg bijak meletakkan kasih sayang dalam membalut jalan cerita filem ini sehingga ia tidak menimbulkan kebosanan.

War Horse bukan saja filem aksi yang memaparkan tembakan peluru, bom dan juga keganasan manusia, tetapi ia diredakan juga dengan kehadiran seekor haiwan luar biasa yang sentiasa disenangi manusia, termasuk musuh.
Apa yang menarik, wujud babak di mana Joey terperangkap di tengah-tengah medan perang, antara dua pasukan tentera yang bertempur. Kehadiran kuda perang ini memainkan peranan penting dalam menghentikan bunyi ledakan bom tembakan peluru yang bersimpang siur.

Nilai kemanusiaan cuba dipaparkan Spielberg dengan memperlihatkan Joey, kuda perang dari England yang bukan hanya diselamatkan tentera Jerman, tetapi juga diselamatkan pejuang yang sanggup mengambil risiko ditembak mati pasukan masing-masing.

Malah keluhuran hati seorang petani pada babak permulaan yang sanggup membeli seekor anak kuda dengan harga begitu tinggi akhirnya berbaloi apabila kuda itu dianggap pejuang yang menyelamatkan nyawa daripada terus musnah dalam peperangan.

Filem ini mengisahkan kesetiaan, kemanusiaan sejagat serta pengorbanan yang berlaku pada perang dunia pertama, serta hubungan kasih sayang antara Joey dan anak muda bernama Albert yang cukup menghibakan. Hubungan antara haiwan dan manusia diperlihatkan dengan cukup menarik dan ringkas, tetapi amat menyentuh rasa.

INFO

Filem: War Horse
Pengarah: Steven Spielberg
Genre: Drama
Pelakon: Emily Watson, David Thewlis, Peter Mullan, Niels Arestrup, Tom Hiddleston, Jeremy Irvine, Benedict Cumberbatch, Toby Kebbell
Tarikh Tayangan: Mulai 2 Februari 2012

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: