|
|
Pihak akademi sebulat suara mewujudkan kategori pelakon pembantu selepas beberapa pihak mempertikaikan tindakan penganjur yang dilihat hanya mengiktiraf pelakon utama sahaja.
Tahun ini memperlihatkan lima orang aktres yang bertuah dicalonkan dalam kategori ini iaitu Berenice Bejo untuk The Artist, Jessica Chastain (The Help), Melissa McCarthy (Bridesmaids), Janet McTeer (Albert Nobbs) dan Octavia Spencer (The Help).
Bersempena dengan penganjuran Anugerah Academy Ke-84 yang akan diadakan pada 26 Februari ini (27 Februari waktu Malaysia) di Los Angeles, Amerika Syarikat, S3 mahu menyemarakkan lagi sambutan itu dengan menampilkan fakta-fakta menarik yang dapat dikongsi bersama pembaca.
* Pemenang pertama kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menjadi milik Gale Sondergaard yang memenanginya menerusi filem Anthony Adverse pada tahun 1936.
* Melissa Leo merupakan pemenang terkini untuk kategori ini di mana dia memenanginya tahun lalu berdasarkan wataknya sebagai Alice Ward dalam The Fighter.
* Dari tahun pertama dianjurkan sehinggalah penganjuran kali ke-16 (1943), setiap pemenang kategori ini hanya menerima plak sebagai hadiah. Setahun selepas itu sehinggalah sekarang, pemenang diberikan trofi Oscar.
* Sepanjang tahun 75 tahun sejak ia mula diperkenalkan, kategori ini sudah mengiktiraf 73 pelakon wanita termasuk kemenangan berulang.
* Hanya dua aktres sahaja yang memenangi kategori ini sebanyak dua kali iaitu Shelley Winters dan Dianne Weist. Winters memenanginya pada 1959 untuk The Diary of Anne Frank dan 1965 (A Patch of Blue) sementara Weist pula pada 1986 (Hannah and Her Sisters) dan 1994 (Bullets Over Broadway).
* Thelma Ritter menjadi aktres yang paling kerap dicalonkan iaitu sebanyak enam kali namun, gagal memenangi sebarang trofi.
* Filem Tom Jones (1963) menjadi satu-satunya filem sehingga kini yang menerima tiga pencalonan dalam kategori ini untuk tiga pelakonnya iaitu Diane Cilento, Edith Evans dan Joyce Redman. Namun, semuanya tewas kepada Margaret Rutherford yang memenanginya bagi filem The V.I.P.s.
* Pemenang paling tua yang pernah menerima pengiktirafan dalam kategori ini ialah Peggy Ashcroft yang memenanginya untuk filem A Passage To India (1984) pada usia 77 tahun.
* Gloria Stuart pula menjadi calon paling tua yang pernah dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada usia 87 tahun. Dia dicalonkan bagi filem Titanic (1997).
* Sehingga kini tiada siapa mampu memecahkan rekod Tatum O'Neal selaku pemenang paling muda dalam kategori ini. Dia memenanginya untuk filem Paper Moon (1973) pada usia 10 tahun.
* Hanya empat pelakon kulit hitam pernah diiktiraf untuk kategori ini iaitu Hattie McDaniel bagi filem Gone With The Wind pada 1939, Whoopi Goldberg (Ghost-1990), Jennifer Hudson (Dreamgirls-2006) dan Mo'Nique (Precious: Based on the Novel "Push" by Sapphire-2009).
* Keberkesanan lakonannya di layar lebar hanya dalam tempoh lima minit dua saat menerusi filem Network (1976) telah melayakkan Beatrice Straight menjadi pemenangnya.
* Setakat ini, hanya seorang aktres sahaja yang memenangi kategori ini yang membawakan watak seorang pemenang Oscar iaitu Cate Blanchett. Dia membawakan watak Katharine Hepburn dalam filem The Aviator (2004).
* Pelakon kelahiran Jepun, Miyoshi Umeki menjadi pelakon Asia pertama yang memenangi kategori ini bagi filem Sayonara (1957).
* Hanya membawakan watak yang memerlukannya mendengus dan menjerit tanpa sebarang dialog dalam filem The Miracle Worker (1962) telah membawa kemenangan kepada Patty Duke.
* Satu-satunya pelakon Iran yang pernah tercalon dalam kategori ini ialah Shohreh Aghdashloo menerusi filem The House of Sand and Fog pada tahun 2003.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: