Saturday, February 4, 2012

Tidak terfikir berpoligami - Sham


BIARPUN sudah berhijrah, Sham menjelaskan dia akan tetap menggunakan panggilan Sham Kamikaze.


Perkara itu timbul kononnya Sham bernikah dengan isteri keduanya secara senyap-senyap di Pulau Pinang.

Ia dibicarakan di laman sosial secara meluas dan menimbulkan tanda tanya, benarkah itu berlaku?

Bertemu dengan Sham sendiri memberikan jawapan kukuh bahawa ia adalah satu fitnah semata-mata.

Malah Sham sendiri menganggap fitnah yang dilemparkan kepadanya itu adalah satu ujian yang harus ditempuhinya selepas hampir setahun berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik.

"Saya percaya dengan perubahan hidup sekarang, ia banyak membantu saya lebih berfikir secara matang dan waras. Atas alasan itu, saya memang cukup yakin jika Allah SWT mahu membantu kita, ada caranya yang diberikan kepada kita.

"Sebaik sahaja saya mendapat tahu berita yang tidak benar itu tersebar, saya sendiri memberitahu empunya blog yang menyebarkan cerita itu untuk menarik balik cerita tersebut.

"Dengan penuh berhemah dan diplomasi, saya katakan kepadanya bahawa tidak elok menyebarkan fitnah kerana cerita sebegini akan cepat sampai kepada masyarakat," kata Sham panjang lebar.

Sham bernasib baik kerana dengan sikap diplomasinya, perkara itu berjaya diselesaikan.

"Alhamdulillah, dia menerimanya dengan baik dan tidak berapa lama kemudian, dia menarik balik. Tetapi, impaknya selepas itu, memang agak sukar jugalah untuk saya menghadapinya. Ini kerana saya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai mahupun pihak media," ceritanya sambil ketawa sewaktu ditemui di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bagi Sham, masyarakat seharusnya tidak mempunyai pandangan skeptikal terhadap pendakwah. Tanggapan bahawa kesemua pendakwah menyokong poligami atau berkahwin lebih daripada satu, adalah semata-mata tanggapan dan tidak semestinya benar.

"Soal bermadu atau poligami tidak pernah terlintas di fikiran saya. Tidak semua pendakwah akan terfikir ke arah berpoligami kerana tanggungjawabnya bukan mudah," kata Sham lagi.

Dalam soal ini, dia cukup bertuah dan bersyukur kerana memiliki seorang isteri, Farazila Abdul Jabar yang penyabar serta mudah dibawa berbincang seandainya soal sensitif dibangkitkan.

"Sewaktu isu kononnya saya berkahwin dua itu, dia sendiri bertanyakan kepada saya akan kesahihannya dalam nada penuh berhemah.

"Lalu, saya jelaskan kepadanya bahawa semua itu tidak benar dan dia menerima kata-kata saya. Kami duduk berbincang tentang perkara itu sehinggalah kami meletakkan tanda berhenti untuk tidak lagi membicarakan tentang perkara itu.

"Saya sendiri pun tidak mahu memikirkan tentang poligami walaupun ia dibenarkan dalam Islam. Tetapi, masyarakat hari ini yang mengamalkan konsep itu lupa akan matlamat sebenar seperti mana sunnah Rasulullah.

"Mengamalkan poligami tidak salah tetapi niat dan cara kita itu haruslah betul agar ia tidak tersasar dari landasan sebenar," kata bekas pemuzik berusia 36 tahun yang dilahirkan di Kuala Lumpur ini lagi.

Walaupun perkahwinannya sudah berusia empat tahun tanpa dikurniakan cahaya mata, Sham bersyukur menjalani kehidupannya seadanya bersama Farazila.

Tanpa selindung kata Sham, kebahagiaan dan perubahan hidup yang dikecapinya kini barangkali ada kaitannya dengan doa isterinya sewaktu menunaikan umrah pada Mac lalu.

Tidak sampai sebulan selepas itu, Sham terus mendapat hidayah sehinggalah dia menjadi apa yang dapat dilihat hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: