MEMORIAL Veteran Vietnam adalah memorial nasional di Washington, Amerika Syarikat. Ia dibina bagi menghormati dan memperingati bekas tentera Amerika Syarikat (AS) yang berperang semasa Perang Vietnam. Itu termasuk mereka yang terkorban semasa dalam perkhidmatan di Vietnam, malah hilang tanpa dikesan sepanjang peperangan meletus.
Memorial tersebut kini mempunyai tiga bahagian berpisah iaitu Patung Tiga Askar, Memorial Wanita Vietnam dan Dinding Memorial Veteran Vietnam.
Bahagian utama memorial yang siap sepenuhnya pada tahun 1982 ialah Taman Konstitusi yang terletak bersebelahan National Mall, dekat timur laut Memorial Lincoln. Ia dipulihara oleh Perkhidmatan Taman Nasional AS dan menerima kira-kira tiga juta pengunjung setiap tahun.
Dinding memorial berkenaan direka oleh arkitek AS iaitu Maya Lin. Peletakan nama-nama pada dinding berkenaan pada asalnya mempunyai 58,195 nama dibuat oleh Datalantic di Atlanta, Georgia.
Pada tahun 2007, ia disenaraikan di tempat ke-10 sebagai seni bina kegemaran rakyat AS oleh Institut Arkitek Amerika.
Dinding memorial itu dibuat menggunakan dinding gabbro sepanjang 75 meter dan tinggi tiga meter. Batu yang digunakan untuk membina memorial itu diimport dari Bangalore, Karnataka, India dan dipilih kerana kualitinya.
Pemotongan batunya pula dibuat di Barre, Vermont sebelum dihantar menggunakan kapal ke Memphis, Tennessee untuk mencacah nama-nama berkenaan.
Sekiranya pengunjung melihat ke dinding memorial itu, mereka akan melihat biasan diri mereka di belakang nama-nama berkenaan, bertujuan memberi simbolik bahawa masa silam dan kini dibawa bersama.
Terletak berdekatan dinding memorial berkenaan ialah Patung Tiga Askar yang merupakan satu lagi memorial Vietnam yang mula dipamerkan pada tahun 1984.
Dinding memorial dan patung berkenaan ibarat berinteraksi antara satu sama lain. Patung berkenaan seakan-akan sedang melihat ke arah dinding itu seperti memberi penghormatan ke atas nama-nama pejuang yang tertulis itu.
Sementara itu, pembinaan Memorial Wanita Vietnam pada mulanya dilihat tidak bersesuaian. Idea asal perekanya, Glenna Goodacre ialah patung seorang jururawat memegang bayi berbangsa Vietnam yang dilihat mempunyai makna berbaur politik.
Dia kemudiannya menggantikan rekaan berkenaan dengan patung seorang wanita melutut sambil memegang sebuah topi perisai kosong.
Pengunjung mula meninggalkan barangan berunsur sentimental di dinding memorial berkenaan sejak proses pembinaannya dimulakan. Ribuan barangan berkenaan ditemui dekat memorial berkenaan setiap tahun.
Barangan tersebut dikutip oleh pekerja Perkhidmatan Taman Nasional dan dihantar ke Muzium NPS dan Pusat Sumber. Semua barangan kecuali bunga hidup disimpan dan direkodkan dalam katalog.
Barangan terbesar yang ditinggalkan dekat dinding berkenaan ialah pintu kaca gelongsor dengan replika penuh kandang harimau. Pintu itu dicat dengan peristiwa perang Vietnam dan nama-nama mereka yang terkorban dan hilang semasa peperangan.
Turut ditemui ialah sebuah motosikal Harley-Davidson yang mempunyai plat HERO, patung beruang, Medal Penghormatan Angelo Liteky dan sebagainya.
Sejak tahun 1992 hingga 2003, barangan yang dikutip di dinding memorial berkenaan dipamerkan di Muzium Nasional Institusi Smithsonian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: