Saturday, February 11, 2012

Mazda RX2 buah hati Azlan


AZLAN Shah di samping kereta kesayangannya, Mazda RX2 yang masih dalam proses penambahbaikan pada bahagian enjin.


BERGELAR sebagai pelumba SuperSports 600cc tidak hanya membataskan ilmu Azlan Shah Kamaruzaman terhadap motosikal sahaja, malah anak muda itu juga memiliki pengetahuan yang baik terhadap sistem dalaman sesebuah enjin kereta.

Mendengar celoteh Azlan, mudah untuk membuat telahan bahawa dia mempunyai minat yang amat mendalam terhadap enjin kereta sehingga mampu untuk menerangkan dengan baik mengenai pergerakan komponen dalam enjin khususnya yang mengunakan sistem rotary.

Malah, minatnya terhadap enjin rotary juga mendorong Azlan untuk memiliki sebuah kenderaan yang boleh dianggap klasik iaitu Mazda RX2.

Jika dilihat daripada luaran, kereta yang dimiliki Azlan itu kelihatan seperti kenderaan biasa yang lain, tetapi setelah penulis diberi peluang untuk meneroka dengan lebih dekat, istimewanya kereta klasik, Mazda RX2 itu terletak pada enjin rotary yang digunakan.

Barangkali ada yang tertanya-tanya apa itu enjin rotary dan seperti jangkaan penulis, Azlan memiliki jawapan lengkap untuk persoalan tersebut.

"Enjin rotary ini boleh dianggap istimewa berbanding enjin lain kerana ia mengunakan piston berbentuk tiga segi berbanding piston bulat dalam kenderaan biasa.

"Kuasanya juga lebih hebat daripada yang kita jangkakan, namun tidak ramai yang begitu mahir tentang enjin ini.

"Kebanyakan enjin rotary terdapat pada kereta Mazda jenis tertentu sahaja," kata Azlan.

Menurutnya, Mazda RX2 berwarna merah miliknya itu hanya terdapat kurang lima buah di atas jalan raya di Malaysia pada ketika ini.

Kereta yang dimiliki dengan harga RM15,000 itu hanya akan digunakan untuk keluar beriadah bersama rakan-rakan selain menyertai perlumbaan di litar.

Kata Azlan, buat masa ini, kereta kesayangannya itu masih lagi dalam proses penambahbaikan pada bahagian enjin.

"Kereta ini masih lagi dalam pengubahsuaian yang diinginkan kerana saya mahukan kuasa yang lebih hebat lagi daripada kereta ini.

"Semasa dapat kereta ini ia berada dalam keadaan biasa dengan cat yang sama cuma ada beberapa komponen telah ditukar seperti menggantikan radiator yang lebih besar untuk menyejukkan enjin," kata Azlan.

Dapat melihat perubahan pada kereta klasiknya itu seakan memberi kepuasan kepada Azlan yang turut meminati Mazda RX7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: