![]() |
| KEMEJA oversize (saiz besar) menjadi fokus utama pada gaya maskulin ini dan sesuai dipadankan dengan skirt paras betis rona kuning. |
PADAMKAN gaya feminin penuh pada pakaian untuk musim panas kali ini. Sudah tiba masanya wanita menonjolkan sisi maskulin menerusi koleksi terbaharu Paul Smith.
Cuba menerapkan semangat tinggi dalam diri wanita, rekaan-rekaan kali ini lebih kepada pengisytiharan kebebasan wanita daripada dibelenggu seribu satu masalah.
Ia menciptakan seorang wanita moden dengan estetika maskulin. Penggunaan fabrik ringan dengan reka bentuk yang lembut dan mudah layang memberi satu rekaan penuh sederhana yang nyaman dipakai.
Rekaan berjahit yang disuntik elemen perkasa menggunakan fabrik polos menyerlahkan material licin yang juga berkilat itu. Sut potongan dada yang dipakai dengan mendedahkan leher pula menyuntik rasa elegan dan sofistikated kepada wanita.
Sapu tangan sutera menjadi penegas dalam persalinan bersaiz besar. Bagi meningkatkan imej maskulin, baju atau blaus dirapi kemas dalam seluar potongan langsing atau celana bertali cerut yang dipakai di bawah paras pinggang.
Sekiranya mahu memasukkan sedikit unsur feminin dalam gaya baharu itu, sarungkan dres georgette dengan perhiasan renda yang menyerlahkan potongan pinggang. Ia mampu menghasilkan pemandangan siluet yang sensual.
![]() |
| CELANA bertali cerut yang dipakai di bawah paras pinggang membuatkan wanita tampak ringkas dan santai. |
Melengkapkan penyeri koleksi kali ini ialah rona-rona yang dipilih sebagai palet utama. Memandangkan rekaan musim terbaharu ini bersifat minimum dan klasik, warna biru kelasi (navy) menjadi panduan kepada penciptaan rekaan-rekaan Paul Smith.
Untuk kelihatan jelita namun, dalam masa yang sama tetap terserlah ciri maskulin, warna seperti merah pucat, ungu muda dan merah senduduk (mauve) menjadi pilihan untuk rekaan yang menggunakan fabrik chambray biru (fabrik kapas biasa menggunakan benang lungsin berwarna dan benang pakan putih).
Tidak lupa, warna kelabu keluli yang menaikkan nilai formaliti pada pakaian yang disarungkan. Jika ingin kelihatan bertenaga, pilih hamparan warna kuning muda (buttercup), jed (hijau gelap) dan bordeaux (campuran merah dan ungu).
Apa jua warna yang dipilih menerusi koleksi kali ini, ia tetap akan memberikan nilai optimis pada si pemakai. Corak flora samar dengan warna kelopak gelap dan ton selembut sutera juga mengekalkan ciri-ciri kelembutan seorang wanita.
Jadi, bagi wanita yang mahukan konsep maskulin pada gaya diri, bolehlah berkunjung ke butik Paul Smith yang terletak di tingkat satu, Suria KLCC, Kuala Lumpur.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: