Thursday, February 2, 2012

Mahu bersemuka Miera



DAHULUNYA dia mencipta nama di persada seni tanah air berpaksikan nama Shahz Jaszle. Kini, jejaka berusia 24 tahun ini lebih selesa dirinya sekadar digelar Shahrizal yang difikirkan lebih terserlah sari kemelayuannya.

Ada sebab pelakon yang mula popular dengan drama Asmara itu menukarkan namanya kepada Shahrizal. Katanya, panggilan ini lebih stabil.

"Berkuat kuasa tahun 2012, saya adalah Shahrizal bukan lagi Shahz Jaszle, mungkin nama dulu lebih komersial dari segi jenama tapi tidak dalam kehidupan saya.

"Nama itu yang membuatkan saya tidak stabil dan lebih cantik kiranya saya menggunakan nama Shahrizal," ujarnya memulakan bicara ketika disapa dengan panggilan baharunya sewaktu sidang akhbar Malam Gala tayangan filem Azura 2012 di kompleks beli-belah 1Utama, Bandar Utama, Damansara, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, huruf 'h' dan 'z' pada penghujung nama Shahz yang bermakna sparkle atau bergemerlapan sebenarnya tidak sesuai untuk kehidupan terutama berkaitan kariernya dalam bidang seni.

"Kalau dari segi gangguan atau perkara aneh tidak ada yang terjadi pada saya tapi kalau dilihat sepanjang perjalanan kerjaya, saya sering kali dilingkari kisah kontroversi.

"Saya tidak menyalahkan perkara yang terjadi sepenuhnya disebabkan nama saya sebab kalau tak tabah sudah lama saya jatuh, apapun yang terjadi sebelum dan selepas ini saya reda," kata pemilik nama sebenar Mohd Shahrizal Jazle Jasmin itu lagi.

Shahrizal percaya, semakin sulit dugaan yang datang kepadanya, lagi sakit hatinya maka makin tinggi hikmah yang dianugerahkan-Nya.

Konflik Miera Liyana

Baru-baru ini bertebaran kisah hubungan cinta Shahrizal dan Miera Liyana yang dikatakan sudah retak menanti belah. Ada yang mendakwa punca keberantakan hubungan pasangan itu disebabkan muncul orang ketiga.

Mengukuhkan dakwaan, Miera Liyana sendiri pernah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini bahawa Shahrizal berlaku curang kepadanya sejak kebelakangan ini.


SHAHRIZAL mendakwa hubungan cintanya dengan Miera Liyana berantakan angkara fitnah bekas pembantu peribadinya.


Namun, menurut Shahrizal sendiri dia mengakui masih menyayangi kekasihnya itu dan tidak berniat untuk memutuskan hubungan mereka yang baru saja terjalin belum cukup setahun.

"Saya masih sayangkan dia dan sehingga hari ini masih tercari-cari di mana Miera, sejak saya balik dari Australia hampir seminggu lalu kami belum lagi berjumpa.

"Saya telefon, dia tak angkat dan mesej pun tak berbalas! Sekarang dia hilang dan saya teringin sangat berjumpa dengannya dan menyelesaikan kekusutan yang berlaku kini," katanya yang terlibat dalam penggambaran drama Atas Nama Cinta terbitan Zeel Production di Australia bersama Fiza (Elite), Tasha Shilla dan Shah Iskandar.

Tambah Shahrizal, biasanya, Miera tidak akan menjawab panggilan telefonnya apabila bersama kawan-kawannya melainkan dia bersendirian.

Keliru dengan perkara yang terjadi, Shahrizal kesal andai Miera terpengaruh dengan cakap-cakap kosong dan khabar angin yang cuba menjatuhkan karier serta memecah-belahkan hubungan mereka berdua.

"Status hubungan kami sekarang saya andaikan complicated dan tergantung! Apa kesalahan saya? Tak cukup dia mengkhianati saya dan sekarang dia seolah-olah menggantungkan hubungan kami. Kenapa dia tak boleh faham tekanan yang saya lalui sedangkan dia sendiri tahu ramai yang cuba menjatuhkan saya dalam industri ini?" jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Shahrizal tidak menyalahkan faktor usia mereka yang masih muda adalah punca kepada retaknya mahligai cinta mereka.

"Saya banyak mengubah dan mendidiknya (Miera), dan sejak kami bersama dia sudah semakin kurang bersosial malah lebih terkawal berbanding dahulu," katanya yang sedikit terkilan apabila tidak langsung melihat kelibat Miera sewaktu Malam Gala tayangan filem Azura 2012 baru-baru ini.

Sudah mengagak dan tidak menaruh harapan tinggi untuk dia ikut serta ke majlis itu, Shahrizal percaya Miera mungkin sudah punyai pengganti dirinya.

"Sudah banyak kisah tidak enak yang saya dengar daripada pihak dia dan mungkin dia sekarang sudah ada orang lain," tutur Shahrizal kesal.

Ditanya mungkinkah Shahrizal akan mengurangkan aktiviti seni tidak lama lagi, dia tidak menafikannya.

"Saya nak settle down sebab tak ada kehidupan, setiap hari pergi kerja balik kerja kalau cuti pun saya lepak dengan dia (Miera) dan pergi mana-mana pun selalu bawa dia," luahnya lagi.

Orang ketiga

Dalam pada itu, Shahrizal tidak menolak apabila dikatakan punca keretakan hubungan mereka disebabkan fitnah yang ditabur bekas pembantu peribadinya yang dipecat sebelum ini.


BARISAN karyawan filem Azura 2012 dari kiri Aziz M. Osman, Shahrizal, Afdlin, Neelofa dan Nini Marlini.


"Tapi kalau buat kerja pun sambil lewa dan tidak buat kerja yang sepatutnya seorang PA buat, tidak salah kalau saya memecatnya, dia tidak bertanggungjawab," ujarnya yang pernah terlepas penerbangan akibat kelalaian pembantu peribadinya yang tidak menghantarnya ke lapangan terbang seperti yang dijanjikan.

Katanya lagi, akibat terlalu cepat percayakan seseorang adakalanya dia sendiri yang terleka sehingga mudah diambil kesempatan oleh orang sekeliling.

Pernah suatu ketika Shahrizal dituduh tidak berdisiplin apabila sering datang lambat ke lokasi penggambaran, bagaimanapun dia tidak berani untuk menuduh sesiapa akibat masalah disiplin yang berlaku.

"Saya cepat percaya pada orang dan kerana itu saya sering dikhianati, tapi saya pasti akan lakukan apa saja demi orang yang saya kasihi," janjinya yang akan cuba sedaya upaya mengawal bahtera cintanya yang kini dilanda taufan.

Pesan terakhir buat Miera Liyana: "What we are? Kalau dia betul-betul tak nak, it's okay, kenapa saya yang dituduh bukan-bukan? Mungkin ada hikmah di sebalik yang berlaku, we will see!"

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: