LAGU Sampai Bila yang dicipta sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer muda, Ana Raffali menyatakan isi hatinya sekali gus ibarat satu perkhabaran kepada semua mengenai kisahnya yang bakal menamatkan zaman dara pada 25 Februari nanti.
Lirik yang berceritakan mengenai bagaimana perjalanan hubungan cinta yang bermula sekadar kawan karib dengan jurugambar bebas, Ahmad Aznaim Abdullah, 30, memuatkan video klip ringkas seperti sebuah video pra perkahwinan mereka.
Ketika diundang ke sesi minum petang dan ramah mesra bersama johan Anugerah Juara Lagu tahun lalu itu pada petang hari Selasa lalu, seakan-akan bermain teka-teki.
Mana tidaknya, sebelum itu sudah kecoh diperkatakan bahawa Ana Raffali, 26, bakal mengakhiri zaman solonya tidak lama lagi. Namun, jawapan itu dibiarkan tergantung sehinggalah majlis itu.
“Minta maaf sangat-sangat atas salah faham seolah-olah saya tidak menjemput rakan-rakan media dan peminat ke majlis perkahwinan saya, sebenarnya saya menunggu masa yang sesuai untuk membuat sebarang pengumuman.
“Maka, selepas Anugerah Juara Lagu minggu lalu, sekarang adalah waktu paling ideal untuk saya mengumpulkan semua untuk memberitakan secara personal akan khabar gembira ini,” cerita Ana ketika ditemui di Restoran 39, PNB Darby Park, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis ringkas
Katanya, kalah dalam AJL baru-baru ini tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkarya, malah kemenangan sebenar baginya adalah ketika terpaterinya cintanya bersama pasangan pada 25 Februari ini.
Sekadar majlis sederhana di pekarangan Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, Setapak, Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan, Ana masih menganggapnya seperti orang biasa dan tidak perlu bermewah-mewah.
“Berada dalam industri merupakan tuah buat saya, namun saya masih insan biasa seperti orang lain. Asalkan keluarga kedua-dua belah pihak selesa majlis yang tidak terlalu besar pun sudah memadai. Apa yang penting orang datang,” katanya.
Majlis pertunangan akan diadakan sejam awal sebelum akad nikah yang dijadualkan pada pukul 10.30 pagi 25 Februari ini. Hantaran dan mas kahwin masih belum diputuskan kedua-dua belah pihak buat masa sekarang.
Berbicara mengenai tema perkahwinan pula, Ana dan pasangan hanya akan memakai baju kahwin berona kelabu dan keluarga kedua-dua belah pihak pula berwarna coklat. Ana memaklumkan tidak akan ada persandingan ketika hari pernikahannya itu namun persembahan bandnya, The Marhaens akan merancakkan sedikit sebanyak suasana majlis.
Pada mulanya, tarikh pernikahan cuba dipercepatkan sebelum tarikh 24 Februari kerana itu merupakan ulang tahun kelahiran Naim ke 30 tahun.
“Tapi memandangkan hanya tarikh 25 Februari saja yang ada dan paling hampir dengan hari jadi Naim sebab itu tarikh itu dipilih. Dia (Naim) seboleh-bolehnya cuba untuk menamatkan zaman bujangnya sebelum usia-30 tahun,” cerita Ana yang bakal menerbitkan album terbaharu yang memuatkan 10 buah lagu pada bulan Mei nanti.
Enam tahun berkawan
Bibit perkenalan yang bermula pada 29 Julai 2005 melalui sepupu Ana berkembang menjadi kelopak bunga cinta sebagai sahabat karib yang sentiasa bersama ketika memerlukan.
Akhirnya, persefahaman yang bercambah membuatkan mereka memutuskan untuk kekal bersama sebagai teman jiwa.
“Saya bukan terlalu muda untuk berkahwin dan bagi saya perkahwinan adalah satu perkongsian hidup dua sahabat baik.
“Saya gelarkan Naim sebagai teman jiwa saya, bak lirik lagu Tolong Ingatkan Aku, kau dampingi aku, setiap detik jantungku berdetak, setiap nota jiwaku berlagu-lagu,” ujar Ana penuh metafora.
Memilih Naim sebagai teman hidup berlandaskan persefahaman dan sifat Naim yang penyabar. Kata Ana, dia harapkan bakal suaminya itu akan sentiasa mendampinginya dan berlaku jujur padanya sepanjang masa.
“Naim seorang yang penyabar dan sepanjang mengenalinya saya selesa bersama, kalau enam tahun dia boleh bertahan dengan saya sebagai kawan baik, itu bukti kesabarannya. Tambahan, dia tidak pernah memaksa saya untuk memilihnya,” luncur butir kata Ana.
Bagi Naim pula, mengenali Ana bukan setakat luaran tapi juga hati budi pelantun lagu Ketika Aku Kecil itu.
“Saya kenal dia (Ana) sebelum dia bergelar artis lagi, dia masih Ana Raffali yang duhulu dan atas sebab itu saya terpikat padanya,” ujar Naim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: