Tuesday, February 21, 2012

Luahan hati Alyah

pix_gal0
Mungkin dapatkan khidmat Ramli MS untuk album akan datang

SEJAK memenangi kategori Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-26, Januari lalu, penyanyi Alyah mengakui rezekinya semakin bertambah apabila tawaran mengadakan persembahan datang mencurah-curah, sehingga dirinya sendiri tidak menang tangan.
Apabila keadaan itu berlaku, bukanlah bermakna Alyah mahu mendabik dada. Sebaliknya, tegas penyanyi berasal dari Pasir Gudang, Johor ini, dia begitu bersyukur kerana pengorbanan dan kerja keras selama ini akhirnya membuahkan hasil.
"Bukan mudah untuk Alyah berada dalam kedudukan sekarang. Ramai yang sedia maklum Alyah bermula dari bawah. Pernah jatuh dan Alyah kembali bangkit untuk meneruskan perjuangan, tanpa mengenal erti putus asa.

"Alhamdulillah, segala penat lelah Alyah selama ini terbayar juga. Memang sudah lama Alyah menanti saat-saat begini dan Alyah takkan sia-siakan peluang yang datang," janji Alyah ketika ditemui pada majlis penyampaian cek kepada pemenang AJL26 di Sri Pentas, Bandar Utama.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar; komposer, Datuk M Nasir; serta penulis lirik, Budi Hekayat.

Memandangkan namanya sedang hangat terutama selepas berjaya mencuri perhatian peminat dengan persembahan memukau pada pertandingan berkenaan, ramai yang tertanya-tanya, apakah Alyah tidak mahu mengambil kesempatan itu untuk mengeluarkan album terbaru?
"Memang ada perancangan untuk menghasilkan album solo terbaru, tapi bukanlah sekarang kerana Alyah baru saja muncul dengan single berjudul Pesananmu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Habsah Hassan.

"Album baru yang diberi judul Kisah Alyah itu pula akan menceritakan mengenai perjalanan hidup Alyah, termasuk soal perhubungan seperti kisah putus tunang. Semuanya akan Alyah luahkan dalam album itu nanti.

"Antara komposer yang terbabit dalam pembikinan album berkenaan ialah Azlan, Manusia Putih dan Awi Rafael. Alyah juga akan merakamkan kembali lagu Inggeris ciptaan Zuriani yang pernah dimuatkan dalam album Alyah terbitan EMI," kata Alyah lagi.

Ditanya tidakkah dia berminat bekerjasama dengan Datuk Ramli MS untuk pembikinan album terbaru, selepas komposer dan pengarah muzik tersohor itu berjaya menterjemahkan susunan muzik yang cukup indah pada malam kemuncak AJL26, Alyah mempunyai jawapan tersendiri.

"Bukan tidak mahu bekerjasama dengannya, cuma faktor masa yang menjadi penghalang. Dia mungkin terlalu sibuk dan saya mahu album ini disiapkan secepat mungkin. Pada masa akan datang, mungkin saya akan mendapatkan khidmatnya," ujar penyanyi berusia 31 tahun ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai wang kemenangannya, Alyah berkata, dia berhajat untuk mengadakan kenduri.

"Majlis kenduri itu akan diadakan di kampung Alyah di Pasir Gudang pada 27 Februari ini. Itulah satu-satunya tarikh Alyah tidak sibuk. Majlis itu diadakan untuk meraikan mereka yang selama ini banyak menyokong kerjaya Alyah sehingga Alyah mampu berada pada kedudukan seperti hari ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: