Tuesday, February 21, 2012

Harun sedih kewibawaan dipertikai

Harun Salim Bachik
Harun Salim Bachik
Hentikan sementara aktiviti elak tuduhan salah guna kuasa

PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Harun Salim Bachik, terkilan apabila dituduh terlalu mementingkan kerjaya seni sehingga mengabai kebajikan anggota persatuan.
Sejak mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Mustafa Maarof tiga tahun lalu, kepimpinan Harun sering dipertikai, termasuk tuduhan menyeleweng wang persatuan.
Rentetan itu, kewibawaan Harun mula diragui. Kedengaran juga desas-desus mengatakan, anggota SENIMAN sedang berbincang untuk menggugurkan nama Harun daripada kerusi tertinggi, seterusnya melantik Timbalannya, Zed Zaidi, sebagai pengganti.

Zed bagaimanapun dalam kenyataan kepada B*Pop Ahad lalu menafikan dakwaan kononnya dia sedang melobi diri untuk jawatan terbabit, sebaliknya percaya Harun masih boleh memimpin persatuan itu dengan baik. Dia juga tidak akan mencabar kepemimpinan Harun, malah masih setia kepadanya.

Harun yang dihubungi berkata, dia sedih dan kecewa apabila usahanya menjaga kebajikan ahli persatuan yang memerlukan dipertikaikan. Justeru, bagi menutup mulut mereka, dia terpaksa memberhentikan segala aktiviti sebagai tempoh bertenang.

“Saya sengaja berhentikan seketika aktiviti persatuan ini kerana tidak mahu lagi orang menuduh saya menggunakan duit persatuan. Bila kita buat aktiviti, mereka tuduh kita menyeleweng duit. Tapi bila saya senyap pula, orang kata saya tak jalankan tanggungjawab.
“Adakah apabila bergelar Presiden, saya tidak boleh cari makan? Banyak sangat ke yang persatuan bayar untuk memikul jawatan itu?” tanya Harun dengan nada agak tegas.

Menurut pelakon ini, ahli jawatankuasa (AJK) mencapai kata sepakat membekukan aktiviti persatuan berkenaan selepas mesyuarat agungnya tahun lalu. Keputusan itu dicapai bagi menghentikan tuduhan membabitkan penyelewengan wang.

“Saya buat begini kerana tidak mahu lagi orang menaruh syak wasangka. Mereka tuduh saya mengeluarkan wang pokok sedangkan wang itu masih ada lagi dalam simpanan. Sebaliknya kami menggunakan wang dividen untuk kebajikan ahli.

“Saya keluarkan wang itu bukanlah untuk kepentingan sendiri, tetapi untuk membantu ahli juga. Tetapi orang tuduh macam-macam, kononnya saya gunakan jawatan itu untuk kepentingan sendiri dan guna duit persatuan untuk bikin filem.

“Saya juga kesal apabila ada dakwaan mengatakan saya mahu letak jawatan, sedangkan saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung peletakan jawatan,” katanya.

Harun yang nyata kecewa dengan sikap sesetengah anggota persatuan yang seolah-olah cuba menjatuhkannya berkata, dia reda dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku, tetapi pada waktu sama dia tidak akan sesekali mengalah.

“Sekiranya mereka mahu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk memilih Presiden baru, saya tidak boleh buat apa. Memang saya sendiri tidak pernah memikirkan hal berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: