![]() |
| DARI KIRI: David bersama Ketua Pengarah Eksekutif Laureate Malaysia, Amit Sevak; Ketua Pengarah Eksekutif MDS, Frances Valintine; dan Dekan Pusat Seni Reka INTI, Anis Laila Yap. |
FILEM Avatar, The Lord of the Rings dan Tintin antara seleksi filem yang membawa pembaharuan dalam industri perfileman antarabangsa. Kehadiran filem-filem berkenaan bukan saja berjaya meraih perhatian penonton di seantero dunia, malah membuka mata banyak pihak bahawa filem kreatif semakin diminati.
Ekoran daripada itu trend pendidikan di luar negara turut mengalami fasa baharu. Ia menyaksikan permintaan terhadap bidang kreatif, visual dan animasi tiga dimensi (3D) terus meningkat khususnya di New Zealand.
Situasi berkenaan memperlihatkan impak positif kerana New Zealand bakal melahirkan kelompok bakat baharu berkemahiran tinggi dan profesional dalam bidang kreatif serta 3D. Justeru, bagi mengembangkan subjek visual dan animasi 3D yang komprehensif seperti yang dinikmati para pelajar di New Zealand, PJ College of Art & Design (PJCAD), Petaling Jaya, Selangor kini menawarkan Diploma Rekaan Multimedia Interaktif dan Animasi buat warga tempatan.
Menerusi kerjasama dengan Sekolah Rekaan Media (MDS) dari New Zealand yang terkenal sebagai institusi bidang kreatif terbaik di dunia, PJCAD memberi pendedahan subjek merangkumi pelbagai aspek.
Antaranya, kemahiran dan pengetahuan menghasilkan, mencipta serta membangunkan kandungan digital. Ini termasuklah aspek rekaan ideal untuk produk multimedia interaktif bagi industri peruncitan, hiburan dan pelancongan.
"Jangan lepaskan peluang menempatkan diri di PJCAD kerana kelebihan kami terletak pada teori dan praktikal. Barisan tenaga pengajar di sini juga mempunyai pengalaman dan arif dalam bidang kreatif dan 3D," jelas Ketua Eksekutif PJCAD, David Liew.
Menariknya, para pelajar yang berjaya memperoleh Diploma Rekaan Multimedia Interaktif dan Animasi di PJCAD, berpeluang menjalani pengajian tambahan selama setahun lima bulan di MDS untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda Animasi 3D dan Kesan Visual.
Di MDS, mereka mendapat tunjuk ajar pasukan fakulti MDS yang memiliki pengalaman yang luas dan mempunyai hubungan baik bersama pemimpin industri rekaan digital seperti Weta Digital, Weta Production, Pixar dan Dreamworks.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: