
KELAINAN serta keunikan yang ada pada tin minuman luar negara berbanding yang biasa terdapat di negara kita, menjadikan ia sesuatu yang sangat menarik untuk dijadikan koleksi.
Kerana begitu teruja dengan reka bentuk serta paparan grafik yang terdapat pada tin minuman tersebut, jaguh lumba basikal negara, Muhd. Arfy Qhairant rambang mata dan menjadikan ia sebagai koleksi peribadi setiap kali menyertai kejohanan di luar negara.
Sehingga hari ini, jumlah koleksi tin minuman unik yang telah dikumpul oleh Arfy sejak 2009 sudah melebihi 50.
Sebahagian daripada tin tersebut diletakkan di bilik asramanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Selebihnya disimpan di rumah keluarganya di Kampung Masjid Tanah, Melaka.
Kebanyakan tin tersebut adalah daripada minuman bertenaga jenama Rock Star dan Monster yang mempunyai saiz jauh lebih besar daripada tin minuman yang biasa kita lihat.
Sebahagian besar daripada tin minuman tersebut diperoleh di Australia ketika menyertai kejohanan di sana, selain dari Dubai.
Kata Arfy, minat untuk mengumpul tin minuman tersebut bermula daripada keinginan mahu mencari kelainan berbanding koleksi yang biasa dilihat.
"Minat ini timbul bila saya berkunjung ke luar negara dan melihat orang di sana meminum tin minuman yang amat unik saya terus tertarik untuk mendapatkannya.
"Sehingga kini saya masih terus mengumpul koleksi tin minuman ini tambahan pula jika ada paparan grafik pada tin itu menarik.
"Bentuk tin juga berbeza dan semua jauh lebih besar daripada yang biasa kita lihat, kadang-kadang bila pulang ke negara ada kawan-kawan teruja untuk tahu tentang tin tersebut.
"Bila saya bawa pulang dari luar negara saya akan bawa dalam jumlah banyak. Ada yang telah dibuka dan ada yang belum dibuka, jika ada kawan-kawan di sini ingin rasa minuman itu saya akan buka untuk mereka," kata Arfy.
Selain mengumpul tin minuman, Arfy juga mempunyai minat terhadap aksesori fesyen seperti topi dan kaca mata hitam.
Menurut Arfy, koleksi tersebut dikumpul kerana minatnya terhadap perkembangan fesyen semasa, selain mahu kelihatan dengan lebih berkeyakinan.
"Koleksi topi saya juga hampir sama banyak dengan koleksi tin yang saya ada dan semua ini adalah koleksi kesayangan saya," kata Arfy.
Sementara itu, Arfy berkata, azamnya pada tahun baru lebih terarah untuk melakukan yang terbaik ketika menyertai Piala Dunia 2012 pada bulan ini di London.
"Kejohanan tersebut akan berlangsung selepas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Kuala Lumpur dan ini juga adalah kali pertama saya ke Piala Dunia.
"Saya tahu cabaran di sana (Piala Dunia) pasti lebih mencabar kerana semua atlet lumba basikal yang akan ke Sukan Olimpik akan turut serta tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan saingan kepada semua," jelas Arfy.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: