Monday, February 6, 2012

Kokurikulum diambil kira ke universiti


SAIFUDDIN ABDULLAH (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada salah penceramah Program Jom ke Menara Gading 2012 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 5 Feb. - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dinasihatkan supaya aktif dalam kegiatan kokurikulum kerana ia merupakan syarat tambahan untuk melanjutkan pengajian ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu penting kerana terdapat kes pelajar terbabit tidak dapat menyambung pengajian dalam kursus yang dipohon berikutan kurang mengambil berat soal kokurikulum.

Menurut beliau, untuk memasuki universiti bukan sesuatu yang sukar sebaliknya ia memerlukan dua persediaan awal iaitu kelulusan akademik dan 10 peratus daripada kokurikulum.

"Kita mempunyai 20 universiti awam dan 80 universiti swasta yang mana setiap pelajar mempunyai peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading.

"Apa yang penting, untuk memohon sesuatu kursus perlu mengambil berat soal kokurikulum supaya ia tidak menjadi penghalang melanjutkan pengajian dalam bidang yang disukai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom ke Menara Gading 2012 (Jomega 2012), di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh (SBPIT), dekat Kerdau, di sini semalam.

Program ini anjuran Pertubuhan Anak-Anak Kerdau, Temerloh, Pahang (Ankad). Hadir sama, Pengerusi Ankad, Khairul Nizam Abdul Samad dan Penghulu Mukim Kerdau, Mohd Kamal Omar.

Saifuddin berkata, untuk tahun depan, lima universiti diberi kuasa autonomi oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam membuat pengambilan pelajar mereka sendiri.

"Lima universiti itu ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Univeriti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) ," katanya.

1 comment:

  1. bukan penceramah la..dia ni tetamu jemputan,wakil PPD Temerloh.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: