Monday, February 6, 2012

Al-Azhar tawar asrama pelajar Malaysia


ABDUL Aziz Jamaludin Mhd Tahir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti di Kaherah baru-baru ini.


KAHERAH 5 Feb. - Universiti Al-Azhar menawarkan kepada kerajaan untuk membina bangunan asrama bagi kemudahan pelajar-pelajar Malaysia di kawasan kampus universiti itu.

Duta Besar Malaysia di sini, Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti berkata, bangunan itu mampu menempatkan 5,000 orang pelajar dan sebahagian daripadanya mesti diperuntukkan kepada pelajar negara-negara lain.

Katanya, mana-mana yayasan yang berminat boleh membantu merealisasikan pembinaan bangunan ini yang dapat memberi kemudahan lebih selesa kepada pelajar-pelajar yang ketika ini berselerak di merata tempat.

''Malaysia mengalu-ngalukan tawaran ini dan diharap kerajaan atau mana-mana yayasan dapat membantu pembinaan ini,'' katanya dalam pertemuan dengan delegasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Delegasi turun padang Yadim diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Aziz Jamaludin Mhd. Tahir.

Hadir sama ialah Setiausaha Pertama Bahagian Hal Ehwal Agama Kedutaan, Abdullah Mohamed.

Menurut Dr. Mohd. Fakhrudin, dengan adanya asrama pelajar di dalam kampus, keselamatan dan keselesaan para pelajar lebih terjamin berbanding sekarang.

Ketika ini, kebanyakan pelajar Malaysia tinggal di bangunan asrama yang dibeli oleh kerajaan negeri masing-masing di sekitar Kaherah dan ada juga yang menyewa rumah di sekitar bandar itu.

Dr. Mohd. Fakhrudin bagaimanapun menegaskan, ini tidak bermakna kedudukan kira-kira 11,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Mesir termasuk di Iskandariah sekarang tidak selamat.

Beliau berkata, sejak peristiwa di Dataran Tahrir yang membawa kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, pihak kedutaan sentiasa menitikberatkan soal keselamatan para pelajar.

Katanya, walaupun keadaan masih dianggap tidak stabil tetapi ia tidaklah seteruk yang digambarkan oleh media asing.

Katanya, para pelajar diingatkan untuk menjauhkan diri daripada kawasan Dataran Tahrir yang terus menjadi medan rakyat Mesir mengadakan demonstrasi secara berterusan.

Demonstrasi terbaru di kawasan itu diadakan sebagai bantahan terhadap keganasan perlawanan bola sepak melibatkan Kelab Al-Ahly dan Al-Masry.

Dr. Mohd. Fakhrudin juga berharap, rakyat Malaysia yang berkunjung ke Mesir dapat memaklumkan kehadiran mereka kepada kedutaan terlebih dahulu.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kunjungan delegasi seramai 11 orang itu adalah untuk mendekatkan diri Yadim dengan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.

''Pada masa yang sama dalam suasana sekarang, mereka perlu diberi sokongan untuk terus belajar dan menjauhkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pelajaran mereka,'' katanya.

Pada program itu, delegasi Yadim tidak menginap di hotel sebaliknya menyewa unit asrama di dua bangunan Rumah Kedah di Nasr City. Langkah ini bagi mendekatkan diri mereka dengan pelajar-pelajar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: