Saturday, February 4, 2012

KLPFF timbulkan kesedaran


AHli Jawatankuasa Penganjur dari Viva Palestina Malaysia (VPM), Zabrina Abu Bakar (kiri) dan Azra Banu mempromosikan KLPFF yang akan berlangsung tiga hari bermula esok di Pawagam GSC Pavilion, Kuala Lumpur.


JANGAN sesekali ada perkataan putus asa dalam kamus hidup kita dalam menangani isu Palestin.

Untuk itu eloklah kira beramai-ramai seisi keluarga menyaksikan Festival Filem Palestin Kuala Lumpur 2012 (KLPFF) yang pertama kali diadakan di negara ini.

Berlangsung selama tiga hari bermula esok, 4 Februari di Panggung GSC Pavillion, Kuala Lumpur, ia akan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Festival itu juga bakal dihadiri aktivis terkemuka dunia yang menjadi idola penting dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel, iaitu bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway.

KLPFF dibawa khas oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terkemuka, Viva Palestina Malaysia (VPM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Sebanyak lima tayangan filem antarabangsa termasuk dua dokumentari pendek yang memaparkan isu-isu kemanusiaan di Palestin akan ditayangkan sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Kelima-lima filem itu wajib ditonton kerana semuanya adalah yang terbaik dan mampu membangkitkan kesedaran terhadap penderitaan rakyat Palestin (yang turut melibatkan rakyat Palestin yang beragama Kristian).

Sebab itu, tayangan filem sempenan KLPFF itu tTidak wajar dilepaskan. Lagi pula tayangannya adalah percuma.

Setiausaha VPM, Azra Banu berkata, KLPFF merupakan satu usaha murni bagi mendekatkan rakyat negara ini kepada isu-isu Palestin yang tidak sahaja tertumpu kepada soal agama semata-mata.

"Kita perlu menyebarkan mesej bahawa isu Palestin adalah isu hak asasi manusia yang dinafikan kepada rakyat Palestin apabila negara mereka dirampas rejim Israel dan Israel tanpa malu mengakui mereka kini adalah sebuah negara. Sedangkan ia didirikan atas tanah milik rakyat Palestin," katanya.

Begitupun, KLPFF turut bertujuan mengutip dana bagi menjayakan pelbagai projek membantu rakyat Palestin.

Ini termasuklah menaja 10 orang doktor yang merupakan penduduk Gaza untuk menyambung pelajaran mereka di negara ini dengan belanja RM340,000.

"Sebanyak RM50,000 pula diperlukan untuk membiayai projek menyelamat dan memelihara identiti budaya Palestin dan lain-lain projek yang kesemuanya bernilai RM750,000," kata Azra.

Para pengunjung yang hadir ke festival itu boleh menghulurkan sumbangan peribadi mereka kepada VPM sepanjang tempoh KLPFF berlangsung.

"Matlamat utama kami ialah semata-mata mahu menimbulkan kesedaran terhadap isu Palestin.

"Bagi rakyat Palestin pula, apabila kita menonton filem mereka ini, ia sudah memadai sebagai satu tanda sokongan dan memberikan harapan untuk mereka terus hidup dan berjuang walau hidup mereka bagaikan di neraka dunia.

"Lazimnya festival filem membabitkan kehadiran aktor dan aktres terkemuka yang membintangi filem-filem yang ditayangkan.

"Tetapi KLPFF tidak akan dihadiri oleh mana-mana pelakon kerana kesemua filem tersebut adalah rakaman sebenar atau realiti yang dilalui oleh rakyat Palestin.

"Mereka bukan pelakon yang tugasnya melakonkan watak tertentu.

"Tetapi merekalah watak-watak sebenar yang menjayakan filem-filem yang begitu mendapat sambutan di diperingkat antarabangsa sebelum ini.

"Maka adalah sangat rugi kepada rakyat negara ini untuk melepaskan begitu sahaja KLPFF kerana kesemua filemnya bukan bersifat propaganda atau ada agenda tertentu. Tetapi menonjolkan banyak perkara yang kita tidak tahu mengenai mereka.

"Terutama jenis kekuatan yang mereka miliki kerana di sebalik kesengsaraan mereka masih tersenyum dan ketawa seolah-olah seperti tiada apa yang dahsyat berlaku," katanya.

Kata Azra, bagi rakyat Palestin apabila bangun di waktu pagi, belum tentu nyawa akan panjang sehingga ke petang. Hidup mereka setiap masa benar-benar bagai nyawa dihujung tanduk.

Lebih banyak maklumat mengenai KLPFF boleh diperoleh dengan melayari www.vivapalestina-my.org atau menghubungi pihak penganjur di talian 012-3718518, 016-2094500 dan 012-221222.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: