Saturday, February 4, 2012

Tiada zakat dua kali atas harta yang sama


Asas untuk umat Islam menunaikan zakat ialah harta itu mesti melebihi nisab dan juga mencapai tempoh haul. - Gambar hiasan


SAYA menjelaskan zakat pendapatan melalui potongan gaji pada setiap bulan. Kemudian, bakinya saya masukkan ke dalam akaun simpanan. Katakanlah Akaun Simpanan Bank A. Adakah saya perlu menzakatkan simpanan saya? Di samping itu, saya juga mempunyai beberapa akaun simpanan lain.

Adakah saya perlu membayar zakat simpanan bagi kesemua akaun itu, seandainya simpanannya terkurang daripada nisab zakat? Bagaimana pula jika simpanan dalam akaun itulah satu-satunya punca pendapatan bagi orang yang sudah bersara, misalnya wang dari KWSP dimasukkan ke dalam akaun berkenaan dan ia digunakan selagi hayat dikandung badan. Adakah ia masih wajib dizakatkan? Bagaimana pula jika seseorang itu sudah menunaikan zakat KWSP dan kemudian menyimpan bakinya, adakah masih wajib dizakatkan?

Jawapan:

Terima kasih atas pertanyaan. Secara umumnya memang masih ramai umat Islam yang terkeliru antara status semua jenis zakat ini. Oleh itu, kita hendaklah faham bahawa asas kepada zakat itu ialah, harta itu mesti melebihi nisab dan juga mencapai tempoh haul. Ini asasnya.

Cuma dalam masalah harta perolehan, seperti pendapatan, ia menerima khilaf dalam kalangan ulama, sama ada masih perlu atau tidak perlu menunggu haulnya. Di Malaysia umumnya dan Selangor khususnya, harta perolehan seperti pendapatan ini, tidak disyaratkan haul dan hendaklah dizakatkan pada tahun semasa.

Pandangan ini dikeluarkan dalam kalangan sahabat seperti Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dan Muawiyah dan kemudiannya disokong oleh kalangan tabi'en seperti al-Zuhri, al-Hassan al-Basri dan Makhul dan seterusnya disokong oleh Umar bin Abdul Aziz dan Daud al-Zahiri dan disokong pula oleh kalangan fuqaha kontemporari seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Abdul Wahab Khallaf dan Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

Hujah mereka disandarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-An'am ayat 141: Dan tunaikanlah haknya (zakat) pada hari ia dituai.

Sekarang, mari kita telusuri permasalahan di atas satu persatu. Mengenai pendapatan yang diterima, kemudian dizakatkan ke atasnya terlebih dahulu dan kemudian disimpan, maka di sini lebihan wang pendapatan yang disimpan itu tidak perlu lagi dikeluarkan zakatnya. Ini kerana, ia sudah pun dizakatkan terlebih dahulu sebelum disimpan.

Dalam hal ini, fiqh zakat menyatakan, zakat tidak dikenakan dua kali ke atas harta yang sama pada tahun yang sama. Maka, cukup dengan zakat pendapatan. Wang yang disimpan itu hanya dikenakan zakat simpanan pada tahun berikutnya setelah mencapai tempoh setahun disimpan jika ia berada di atas paras nisab zakat.

Nabi Muhammad SAW menegaskan: "Tidak ada zakat ke atas sesuatu harta kekayaan sehingga berlalu satu tahun," (riwayat Daruquthni dan Baihaqi daripada Ibn Umar)

Manakala ittifaq (sepakat) ulama salaf dan khalaf, bahawa zakat kekayaan nominal, iaitu daripada haiwan ternak, wang dan harta perniagaan hanya diwajibkan satu kali dalam satu tahun dan bahawa zakat suatu kekayaan tidak dipungut dua kali dalam tahun itu," (Yusuf al-Qaradawi, Hukum Zakat, hal. 163).

Kemudian dari itu, zakat simpanan juga tidak hanya tertakluk ke atas sesuatu akaun sahaja. Seandainya seseorang itu mempunyai tiga akaun, maka dia hendaklah mencampurkan keseluruhan wang simpanannya di dalam semua buku akaun simpanan berkenaan.

Amaun yang dijumlahkan itu pula, adalah amaun atau baki terendah di dalam setiap akaun. Andai baki terendah buku akaun Bank A tidak sampai nisab, namun setelah dicampurkan dengan akaun Bank B dan C ia menjadi lebih nisab, maka ia masih wajib dizakatkan.

Bagi orang yang menerima wang dari sesuatu sumber, misalnya KWSP atau hasil jualan tanah dan sebagainya, mereka hendaklah mengeluarkan zakatnya sebagai zakat pendapatan terlebih dahulu. Kemudian mereka menyimpannya di dalam mana-mana bank, maka selagi mana simpanan itu berada di atas paras nisab pada setiap tahun, maka wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat simpanannya. Biar pun wang itu menjadi sumber kehidupannya, namun ia tidak boleh menghalang harta kekayaan itu daripada dizakatkan.

Hal ini disandarkan kepada kehendak Nabi Muhammad SAW: "Bayarlah zakat harta kekayaan kalian," (riwayat Imam Termizi)

Begitulah ia berlangsung, sehinggalah nilai atau jumlah wang yang disimpan itu menjadi susut atau lebih rendah daripada paras nisab, maka baharulah terlepas daripada kewajipan zakat. Manakala, bagi akaun di tabung haji, ia telah pun diselesaikan zakatnya oleh pihak tabung haji, maka tidak perlulah penyimpannya mengeluarkan zakat ke atas simpanannya lagi.

Suka dinyatakan di sini, ada pun Nabi Muhammad SAW tidaklah menyukai membiarkan wang yang disimpan di dalam sesuatu simpanan itu menjadi susut begitu sahaja kerana diambil darinya zakat saban tahun. Ini kerana, pernah berlaku pada zaman Nabi SAW, baginda mengarahkan seorang penjaga harta anak yatim agar melaburkan harta anak yatim yang dijaganya, dengan tujuan agar harta itu tidak susut begitu sahaja 'dimakan' oleh zakat.

Daripada 'Amru bin Syu'aib beliau berkata bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda: "Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta, hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) - dimakan oleh zakat," (riwayat Imam Termizi).

Kesimpulannya, wang yang disimpan walau di mana sahaja atau dalam pelbagai jenis akaun, wajib dizakatkan pada setiap tahun. Manakala bagi harta yang telah pun dikeluarkan zakatnya, kemudian disimpan, maka hanya wajib zakat pada tahun yang mendatang. Seseorang yang mempunyai wang simpanan juga tidak wajar membiarkan hartanya susut begitu sahaja, melainkan dia wajar mengembangkannya. Inilah keindahan Islam dalam menjustifikasi kefarduan zakat ke atas seluruh penganutnya. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: