Friday, February 10, 2012

Keriuhan Ceria Pagi di Suria


Kekuatan Ceria Pagi di Suria terletak pada Nabil, Halim dan Kencana.


JIKA sebelum ini, Halim Othman digandingkan bersama Shiera dan Bob bagi mengendalikan segmen Breakfast@Suria seawal pukul lima pagi, kini segmen pagi dimeriahkan lagi dengan barisan penyampai baru radio swasta tersebut.

Malah, sejajar dengan perjalanan tahun baru 2012, segmen Breakfast@Suria kini diberi nafas baru digantikan dengan Ceria Pagi di Suria. Bezanya kali ini, Halim ditemani rakan baru, Nabil dan Kencana Devi.

Tugas yang digalas pastinya berat kerana bukan mudah untuk mengekalkan keceriaan pendengar, lebih-lebih lagi ketika awal pagi.

Namun, bagi dua pendatang baru di dalam keluarga Sinar FM itu, perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan kepada mereka untuk terus kekal segar di awal pagi.

Dibimbing oleh Halim sebagai kapten, Kencana dan Nabil perlahan-lahan mengorak langkah mereka dalam bidang penyiaran radio.

Beri mereka masa – Halim

Bertugas sebagai juru mudi kepada dua pendatang baru, Halim mempunyai pandangan tersendiri mengenai Kencana dan Nabil.

Tidak mahu berselindung, Halim mengakui mereka mempunyai rentak mereka tersendiri apabila ke udara.

“Buat permulaan ini, mereka sebenarnya masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dalam suasana di dalam konti.

“Bagi saya, Kencana perlu menguatkan lagi karakter dia dan dalam masa yag sama, dia juga perlu tegas dalam situasi tertentu.

“Manakala bagi Nabil, jika dia ingin berjenaka, dia kena kawal sikit mulut dia. Ini kerana apabila kita tersalah cakap sesuatu yang kasar atau sensitif, nanti saya pula yang kena betulkan dahulu sebelum menyiarkannya. Tambah satu kerja lain pula,” jelasnya.

Namun, Halim percaya perkara tersebut pasti akan terbentuk sendiri dari semasa ke semasa.

Bukan berniat untuk menunjukkan siapa yang lebih senior, Halim mempunyai jawapannya sendiri mengenai perkara tersebut.

“Apabila menjadi penyampai radio, kita perlu ingat bahawa pendengar radio terdiri daripada pelbagai lapisan.

“Daripada kanak-kanak sehinggalah ke tahap dewasa dan berpelajaran tinggi. Pendengar radio adalah cerdik dan mereka sangat peka apa dengan apa yang kita bincangkan.

“Jadi untuk memastikan kita sentiasa mendapat tempat di hati pendengar, kita perlulah membawakan sesuatu yang berinformasi dan segar kepada mereka dan bukanlah hanya cakap kosong semata-mata.

“Tapi apa-apa pun, kehadiran Nabil dan Kencana sebenarnya memberi semangat dan juga inspirasi kepada saya untuk terus sama-sama menjayakan segmen Ceria Pagi di Suria ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: