Friday, February 10, 2012

Kebebasan Fara ada batas


Fara bersama sahabat baiknya, Darling.


SECARA rasmi, Fara Fauzana bertugas sebagai penyampai di radio Hot FM, dan semua sedia maklum akan hal itu.

Bagaimanapun wajahnya amat mudah dilihat di mana-mana saja, pada bila-bila masa, seolah-olah selebriti ini tidak terikat dengan satu majikan secara langsung.

Itulah tuah dan istimewanya seorang Farah Fauzana Mohd. Fadzil.

Menurut Fara, biarpun sibuk sebagai penyiar di radio Hot FM, dia bebas melakukan tugasan lain seperti berlakon atau mengacara tanpa sebarang masalah.

Pada setiap Isnin hingga Jumaat, dia memulakan tugasan di konti untuk segmen HotFM Krew, bermula pukul 6 pagi hingga 11 pagi.

Selain tugasan harian sebagai penyampai, Fara memperuntukan hari Selasa dan Rabu untuk rakaman rancangan Nona di TV3.

Menurut Fara, dia begitu bertuah apabila sepanjang bekerja di stesen radio tersebut, tidak pernah dihalang untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih jauh.

"Bukan Fara seorang, sebaliknya pihak pengurusan memang tidak pernah menyekat mana-mana kakitangan yang ingin mengembangkan bakat masing-masing.

"Boleh dikatakan, kebanyakan penyiar Hot FM ada tugasan sampingan lain mengikut minat dan rezeki masing-masing. Kami bebas melakukan tugasan lain, asalkan memaklumkan kepada pihak pengurusan.

"Selagi tugasan di stesen tidak terganggu, saya bebas untuk buat apa sahaja. Selalunya, saya terima sesuatu pekerjaan itu jika pihak di sana boleh mengikut jadual kerja saya," katanya.

Biarpun perlu melakukan banyak kerja dalam satu tempoh, namun dia gembira dan segala jadual kerja dan temu janjinya diatur oleh pembantu yang juga anak saudaranya sendiri yang mesra disapa, Zul.

Demi teman baik

SEMENTARA itu, persahabatan sejati antara Fara Fauzana dengan Nasreen Ngasri atau Darling adalah di antara punca kenapa penyiar radio Hot FM itu sanggup berlakon sitkom Antara Kita.

Kesibukan yang sedia ada ternyata bukan halangan buat Fara dalam usaha menjaga hati seorang teman baik.

Kata Fara, dia bukan setakat mengenali Darling, malah turut mengenali seluruh keluarga pelakon dan penerbit tersebut.

"Kalau ikutkan jadual kerja, memang padat macam tidak ada ruang untuk saya bergerak. Tapi semua itu saya tolak tepi apabila Darling minta tolong.

"Nak tolak pun berat, sebab kami sudah kenal lama. Dulu Darling juga yang tawar saya berlakon drama Gadis Cuci. Lagipun penggambaran Antara Kita tidak menganggu waktu kerja, cuma saya kena kerja lebih sikit daripada biasa," katanya.

Dalam drama itu Fara berlakon sebagai Nurul Amani yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Katanya, watak sebagai anak sulung kepada Pak Adman, lakonan Zaibo tidak susah kerana Nurul seorang yang happy go lucky seperti dirinya.

"Ini juga pertama kali saya berlakon dengan Zaibo. Kami bukan sekadar berlakon sebagai anak dan bapa, tapi saya juga banyak mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripadanya," katanya yang akan muncul dalam filem Cinta Kura-Kura pada 1 Mac ini di pawagam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: