Sunday, February 12, 2012

Johan lelaki sempurna

pix_middle

MELIHAT kemesraan mereka, terdetik barangkali benar wujud rasa cinta di hati dua insan ini. Tingkah laku mereka seakan mengiyakan perkhabaran terbaru yang hangat diperkatakan media kebelakangan ini.

Usik mengusik, bertepuk-tampar dan perkataan sayang yang lahir spontan ketika beraksi depan kamera, menambahkan keyakinan di hati mereka yang melihatnya. Tatkala perihal itu dibangkitkan, Nabila Huda Suhaimi, 28, dengan tenang menjelaskan antaranya dan Johan Arrif Asa’ari berkawan rapat. Kehadiran jejaka itu menggantikan kekosongan hatinya yang pernah kehilangan teman rapat satu ketika dulu.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Gandingan dalam siri Pelangi Kasih membuka matanya untuk menerima jejaka itu sebagai insan yang paling dekat di hatinya kini. Kejujuran dalam persahabatan yang terjalin membuatkannya selesa berkongsi apa saja cerita dengan jejaka yang muda dua tahun daripadanya itu.

Luah Nabila, semuanya bermula dengan percubaannya membantu Johan memecahkan tembok malu dan tidak selesa apabila diminta melakonkan babak romantik. Usahanya menjadi apabila Johan berjaya memenuhi kehendak skrip dan pengarah.Tawaran menemani pelakon berbakat itu membeli pakaian di pusat membeli-belah One Utama untuk dipakai sepanjang penggambaran Pelangi Kasih, merapatkan lagi hubungan mereka.


“Sebelum Pelangi Kasih kami pernah sama-sama berlakon drama untuk RTM. Orangnya pendiam, merendah diri dan pemalu tetapi sangat menghormati pelakon senior. Di lokasi, dia bersungguh-sungguh mahu belajar dan akan bertanya apa yang perlu dilakukan bagi memastikan lakonannya lebih berkesan.

“Untuk menghilangkan rasa gugup ketika menjayakan babak romantik dalam Pelangi Kasih, saya mengajaknya berbual dan berkongsi beberapa tips. Tak sangka kami boleh jadi kawan baik. Sudah lama saya tidak ada kawan rapat lelaki. Saya selesa berkongsi apa saja cerita dengannya.

“Dia pun ikhlas dalam persahabatan. Walau orang cakap macam-macam pasal saya, dia tidak kisah dan boleh terima saya seadanya. Jika tidak terikat dengan penggambaran, kami akan lepak dan andai sibuk, kami akan berhubung melalui telefon.

“Sebagai kawan karib, saya turut bertindak sebagai penasihat imejnya. Jika ada penggambaran atau sesi fotografi, dia akan tanya saya apa yang perlu dipakai,” katanya.

Mengenai pengganti kekosongan hatinya, Nabila yang kini hidup sendiri selepas bercerai dengan Zaidy Zailani menjelaskan, masih terlalu awal untuk berbicara soal hati dan perasaan. Apatah lagi mereka masih dalam proses mengenali. Katanya, andai benar ada cinta satu hari nanti biarlah ia hadir tanpa dipaksa. Andai itu takdirnya, Nabila tidak menolak tetapi buat masa ini mereka hanya bersahabat baik.

“Saya tahu orang ingat kami bercinta selepas digandingkan dalam Pelangi Kasih. Kalau cinta lokasi tidak mungkin kami rapat hingga sekarang. Lagipun mana boleh baru kenal terus bercinta. Itu cinta nafsu namanya.

“Jujur, kami tidak pernah bercakap soal perasaan. Pengalaman menjadikan saya takut untuk bercinta. Saya bimbang apabila wujud rasa itu akan rosakkan persahabatan. Andai putus, saya masih mahu berkawan baik tetapi cara itu tidak boleh diterima masyarakat kita. Saya pernah melaluinya dan tidak mahu ia berulang.

“Cara hidup saya dan Johan berbeza dan itulah yang membuatkan persahabatan kami semakin erat. Dia ‘family man’ dan bagi saya dia lelaki yang sempurna serta baik. Sayang andai cinta merosakkan persahabatan terjalin,” ujar ibu kepada Keisha Laila, 2, yang semakin matang berbicara dan merencana kehidupan.

Johan mengakui apa yang dituturkan Nabila benar belaka. Katanya, belum terlintas untuk mengangkat ikatan persahabatan yang terjalin itu ke satu fasa lebih serius. Buat masa ini, akui Johan, dia belum bersedia bercinta kerana perjalanan seninya baru saja bermula. Masih banyak yang perlu diberi perhatian dan apabila karier serta kewangan sudah stabil, barulah akan fikirkan soal hati dan perasaan.

“Jujur, saya tidak pernah ada kawan karib wanita dan dialah yang pertama dalam hidup saya. Saya sukakan Nabila kerana dia baik, sentiasa merendah diri serta ikhlas dalam persahabatan.

“Biarpun sudah berbelas tahun dalam industri, dia tidak sombong bahkan sanggup membantu orang baru yang kerdil seperti saya. Bayangkan, hari pertama penggambaran Pelangi Kasih dia sudi bawa saya membeli baju. Dia juga tidak lokek ilmu, apa yang saya tidak faham dia akan bantu.

“Sebagai junior, saya sangat menghormatinya. Di mata saya, dia pelakon berkaliber dan persembahannya tidak pernah menghampakan. Sikapnya yang tidak memilih bulu dalam persahabatan buat saya tambah kagum dengannya.

“Kebetulan pula kami lahir dalam bulan sama iaitu Disember, mungkin kerana itu kami mudah rapat. Sepanjang beberapa bulan mengenali hati budi Abil (Nabila) saya selesa dengannya. Dengan dia tiada rahsia bahkan kami boleh berkongsi apa saja, baik cerita gembira mahupun sedih,” katanya.

Bintang Juvana ini tidak menafikan apabila masing-masing sibuk dengan komitmen penggambaran, terbit rasa rindu di hati namun rasa itu terbatas sebagai rindu kepada seorang sahabat.

Mengenai panggilan sayang Nabila kepadanya, Johan yang kini sibuk dengan penggambaran siri Bunga-Bunga Cinta untuk slot Zehra di TV3 menjelaskan, tiada apa yang perlu diperbesarkan kerana kata ganti nama itu sering digunakan Nabila apabila gembira atau berada dalam situasi menyenangkan.

“Bagi saya, itu perkara biasa kerana kami berkawan baik. Saya tidak kekok dengan panggilan itu kerana saya juga menyayanginya sebagai sahabat. Sayang tidak bermakna kami bercinta, lagipun bukankah sayang itu bersifat universal.

“Seperti yang saya katakan tadi kami tidak pernah bercakap soal hati tetapi saya pernah sebut andai ditakdirkan dia jodoh saya satu hari nanti, saya tidak tolak. Soal cinta dan jodoh tidak boleh dijangka.

“Ramai juga pasangan yang bermula dengan persahabatan dan kalau benar tertulis dia jodoh saya, saya terima kerana percaya dia wanita yang baik. Namun sebelum itu, saya kena betulkan diri dan pastikan boleh jadi ketua keluarga yang baik.

“Pun begitu, saya masih muda, baru 26 tahun. Saya hanya akan bercinta apabila kewangan sudah stabil dan apabila bertemu wanita yang tepat saya akan terus lamar. Saya akan mengaku bercinta apabila sudah merisik. Itu lebih manis dan eksklusif.

“Dia juga pernah meletakkan syarat sebagai kawan baik selamanya (BFF) dan kami tidak boleh ada teman istimewa. Itu hanya gurauan yang menjadi bahan tawa kami apabila berbual.

“Pernah Abil ajak saya makan bersama keluarganya tetapi saya tolak kerana
segan. Iyalah, siapalah saya mahu bertemu keluarganya lebih-lebih lagi papanya
kerana dia idola saya. Sepanjang rapat dengan Abil, saya pernah jumpa puteri tunggalnya. Kebetulan saya berjiwa penyayang dan sukakan anak kecil,” katanya.

Sering kali dikaitkan dengan cinta lokasi, anak muda ini mengakui jiwanya pernah dihambat rasa bosan. katanya, memburu cinta bukan agendanya berada dalam industri malah tidak pernah terlintas mahu ambil kesempatan dengan mana-mana artis yang digandingkan dengannya.

“Takkan hanya kerana berkawan dengan teman artis bererti saya ada hati dengan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: