Monday, February 13, 2012

MTT umpama kereta api baharu



PERTAMA kali berpeluang menaiki kereta api Malayan Train Tiger (MTT), Johari Mohd. Salleh, 34, begitu teruja.

Sebagai seorang yang meminati pengangkutan klasik itu, Johari memberitahu, MTT mempunyai sisi yang berlainan tetapi yang pasti lebih istimewa berbanding kereta api lain yang pernah dimiliki Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB).

“Walaupun kita tahu usia MTT menjangkau lebih 40 tahun, tapi atas disiplin dan kemajuan teknologinya yang luar biasa, gerabak kereta apinya masih bertahan,” kata Pemeriksa Kawalan Mutu di Pasir Gudang, Johor itu.

Dia ditemui ketika turut serta dalam rombongan media dari Johor Bahru ke Tumpat, Kelantan menggunakan MTT baru-baru ini.

Perjalanan yang memakan masa hampir 16 jam itu seperti tidak dirasai oleh Johari.

“Keselesaan prasarananya lebih sekali ganda berbanding koc terdahulu. Pada masa yang sama, perjalanan menggunakan MTT untuk ke Pantai Timur juga lancar apabila kereta api tidak berhenti di banyak stesen,” kata Johari yang juga ahli bagi Kelab Peminat Keretapi Tanah Melayu.

Seorang lagi penumpang, Salina Zainuddin, 40, turut menyuarakan pandangan yang sama. Ujarnya yang turut membawa dua anaknya, Mohd. Hafis Rosli, 14, dan Mohd. Danial, 9, MTT setakat ini merupakan produk terbaik dari KTMB.

Dia yang menaiki koc superior (ala dormitori) percaya, kunjungan pelancong ke Pantai Timur pastinya melonjakkan industri pelancongan negara.


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (berkot) sambil ditemani Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan meninjau keadaan koc MTT.


Bagi Zarina Che Husin, 40, sebagai seorang yang gemar menaiki kereta api ke mana jua destinasi, pastinya perasaan ralat akan menguasai diri sekiranya tidak mencuba menaiki MTT.

“Bayi saya, Ailin Adrisha (9 bulan) yang tidur nyenyak menunjukkan betapa selesanya kereta api ini,” ujar bersungguh.

Bertaraf kelas pertama

Secara keseluruhannya, tempat duduk termasuk jenis superior dan prima, kemudahan tandas, alat audio visual, pendingin hawa termasuk singki dan pili air, semuanya bertaraf kelas pertama. Percayalah, sekali anda mencuba untuk menaiki MTT, pasti anda ingin mengulanginya sekali atau beberapa kali lagi.

Apakah signifikan di sebalik pertukaran nama dari Blue Train kepada MTT atau Harimau Malaya?

Menurut Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail, Harimau Malaya tidak lain tidak bukan melambangkan semangat perjuangan negara.

Pada masa sama, KTMB merencanakan nama itu kerana mengambil kira perjalanan gerabak MTT yang melalui landasan di Pantai Timur Semenanjung.


SAAT menikmati makanan yang disediakan di kantin kereta api merupakan detik-detik yang paling menarik.


“Kawasan seperti Kelantan dan Pahang merupakan habitat harimau, justeru, amatlah bertepatan sekiranya nama itu diubah suai,” kata Mohd. Fazil.

Mengulas mengenai transformasi warna oren dan biru pada gerabak tidak lebih hanya untuk menunjukkan ciri-ciri Malaysia. Bagaimanapun Mohd. Fazil berkata, beberapa tulisan Jepun yang ada pada dinding gerabak dikekalkan.

Pada 2010 yang lalu, kerajaan Jepun melalui Syarikat J.R. Kyushu dan IR West berbesar hati menyumbang 14 koc yang dikenali sebagai Blue Train yang melalui bandar raya Tokyo ke Kumamoto sebelum ini.

Koc terpakai yang digunakan lebih 30 tahun itu sejak tahun 1970 hingga perkhidmatan terakhirnya pada Mac 2009 yang diberikan secara percuma memerlukan kerajaan membelanjakan sekitar RM7 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: