Tuesday, February 7, 2012

Imam masjid UiTM Melaka juara khatib muda


HANIF (tengah) bersama Mohd. Sahrin (kiri) dan Shahrul Mubarak selepas Pertandingan Khatib Muda di Melaka semalam.


MELAKA - Fokus dengan apa yang dilakukan menjadi rahsia kejayaan juara Pertandingan Khatib Muda sempena Kempin 1Malaysia 1Halal (1M1H) Melaka yang diadakan di Universiti Terbuka Malaysia, Bukit Palah di sini semalam.

Hanif Hashim, 30, yang juga merupakan imam masjid al-Hikmah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah berkata, meskipun sudah biasa memberi khutbah kepada para jemaah di masjid, dia tidak pernah sesekali menjadikan kelebihan itu untuk tidak membuat yang terbaik.

"Apa yang penting setiap apa yang kita lakukan mesti fokus dan sentiasa berserah kepada Allah selain melakukannya dengan ikhlas," katanya yang bertugas di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Lendu ketika ditemui di sini semalam.

Anak jati Kuala Nerang, Kedah itu berkata, pertandingan khatib muda yang disertainya itu begitu mencabar kerana dia dan peserta lain hanya diberi 10 minit untuk melakukan ulang kaji berkaitan teks khutbah yang akan disampaikan.

Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500 berserta sijil penghargaan.

Tempat kedua dan ketiga diraih oleh Mohd. Sahrin Saat, 24, dan Shahrul Mubarak Ahmad, 30, yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 dan RM200 berserta sijil penghargaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: