Monday, February 6, 2012

Ikram minat fotografi


AHMAD IKRAM sanggup berhabis bagi membeli kamera digital lensa refleks semata-mata kerana minatnya dalam fotografi.


BIDANG fotografi semakin mendapat tempat dalam masyarakat bagi merakamkan detik-detik sejarah sama dalam aktiviti kehidupan mahupun keindahan alam semula jadi.

Pelbagai institusi pendidikan swasta juga menawarkan kursus dalam bidang fotografi , khususnya bagi mereka yang memiliki kamera digital lensa refleks.

Malah, ia bukan sahaja menarik golongan belia tetapi juga menarik minat pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bagi mendalami teknik fotografi .

Minat dalam fotografi menyuntik pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Ikram Abd Rashid, 21, menjadikan bidang fotografi sebagai hobi dan kerjaya walaupun tidak pernah mengikuti kursus fotografi.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mula berjinak dengan fotografi sejak di bangku sekolah rendah.

"Saya minat mengambil gambar rakan-rakan dan program yang dianjurkan di sekolah pada mulanya dan kini minat itu mula timbul sebagai hobi dan kerjaya sampingan dalam merakamkan setiap gambar.

"Gambar yang dirakam mempunyai maksud tertentu yang mempunyai nilai komersial tertentu," katanya.

Ahmad Ikram menambah, kebiasaannya gambar yang dirakamkan merupakan idea yang timbul serta-merta ketika merakam gambar.

"Daripada pengalaman sebelum merakamkan gambar. Saya suka merujuk kepada gambar-gambar terbaik dalam media cetak dan mengkaji teknik atau gaya fotografi yang dipaparkan.

"Saya akan menyesuaikan idea yang didapati dengan gaya saya sendiri dan suka mengkaji gambar yang telah saya rakamkan dan berfikir bagaimana untuk memperbaiki gambar tersebut. Bagi saya, untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlukan kreativiti," katanya.

Menurut Ahmad Ikram, walaupun beliau kini sedang mengikuti pengajian di UUM namun minat untuk mengambil gambar tidak dapat dipisahkan dalam dirinya.

"Kini minat itu bukan sahaja diabadikan dalam album atau simpanan sahaja tetapi hasil kerjasama dengan rakan-rakan sekuliah kini mengorak langkah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan mengambil upah gambar perkahwinan.

"Saya dan rakan bukan mengambil gambar di sekitar Kedah malah menerima tawaran merakamkan gambar pemandangan hingga ke Pulau Pinang apabila diberi kepercayaan dari sebuah agensi pengiklanan swasta," ujarnya lagi.

Anak kedua daripada dua beradik itu sentiasa mendapatkan bimbingan dan maklumat terkini fotografi dari mereka yang lebih mahir seperti Juru foto di kampus tersebut.

"Saya dan rakan banyak mendapat bimbingan mengenai teknik-teknik merakamkan gambar terbaik daripada Jurulatih Pusat Kokurikulum, UUM, Samsudin Oli Mohamed yang menjadi tenaga pengajar kami," ujarnya.

Ahmad Ikram yang bertindak sebagai fasilitator dalam program kepimpinan yang dianjurkan Dewan Penginapan Pelajar kepada pelajar sekolah sekitar negeri Kedah rakaman lensanya tetap menjadi sasaran untuk dijadikan bahan dokumentasi.

2 comments:

  1. thanx post bout me....

    ReplyDelete
  2. ikram?.. my senior.. adoi... tekezut tgk.. hehe.. apa2 pun congrate ikram.. hihihi.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: