PAMERAN Magika Tawarikh Seri Menanti yang berlangsung baru-baru ini membawa seribu satu sentuhan keajaiban fotografi yang amat bermakna kepada pelajar Jabatan Komunikasi (Kursus Kewartawanan Foto) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program itu lebih bermakna lagi apabila diadakan sempena meraikan sambutan hari keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ke-64 di Muzium Diraja Istana Lama, Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz mencemar duli melawat pameran dan menzahirkan kekaguman serta rasa bangga dengan usaha yang dilakukan oleh pelajar UPM kerana usaha yang dilakukan membawa manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan dan masyarakat Malaysia.
Turut berangkat mengiringi baginda, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama anakandanya, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Penasihat Program, Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latif dan Pengarah Programnya, Azimin Daud.
Kreativiti foto yang dipamerkan menyerlahkan lagi kredibiliti pelajar kewartawanan UPM menggunakan medium fotografi sebagai ruang yang sesuai untuk menyampaikan maklumat sejarah tanah air yang masih belum didokumentasi.
Sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung memeriahkan lagi pameran tersebut selain para pengunjung yang datang terdiri daripada masyarakat tempatan iaitu dan pelancong asing dari Korea, Perancis, Sepanyol dan Australia.
Sejarah Seri Menanti termasuk yang masih belum didokumenkan dijadikan peluang dan ruang terbaik untuk dihebahkan kepada masyarakat.
Antaranya penemuan artifak bersejarah di Bukit Tunggal yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Raja Melewar dan orang kuatnya Tok Gadang (Tok Godang) sebelum memerintah Seri Menanti daripada Raja Khatib dan orang kuatnya Penghulu Na'am, di Kampung Jumbang.
Selain itu, kisah kampung Masjid Terbakar dan mitos rakyat adalah antara maklumat yang dipamerkan.
Penemuan artifak lesung batu, acuan lembing dan batu hampar berjaya membuka mata pengunjung dan pelbagai pihak untuk meneroka sejarah Seri Menanti.
Magika Tawarikh Seri Menanti bukan sekadar pameran biasa, tetapi sebagai wadah lembaran sejarah untuk generasi yang akan datang.
Sebagai watan yang berdaulat merdeka para pengunjung dapat memamahi sejarah dan mengenal jati diri sebagai Melayu dan masyarakat Malaysia yang berdaulat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: