Wednesday, February 1, 2012

Ghaib lepas wuduk

MELAKA: Seorang anggota tentera yang dijadual melangsungkan perkahwinan Mac depan hilang di jirat Cina, di sini, ketika dalam perjalanan mendapat rawatan tradisional akibat masalah kemurungan.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 8 malam Ahad lalu, Lans Koperal Mohd Khairul Nizam Majid, 29, yang bertugas di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Bukit Beruang, dekat sini, dikatakan dalam keadaan separuh sedar ketika dibawa menaiki kereta oleh tiga rakannya.


Abangnya, Zamri Majid, 43, berkata, dia diberitahu oleh seorang daripada rakan Mohd Khairul Nizam, adiknya itu kelihatan murung dan gelisah kebelakangan ini.

“Pada petang hari kejadian, adik saya dibawa ke Telok Mas untuk mendapatkan rawatan perubatan Islam, namun selepas tiba di kem pada waktu Maghrib, dia kelihatan semakin gelisah dan resah.


“Tiga rakannya mahu membawa dia mendapatkan rawatan tradisional dan kira-kira jam 8 malam ketika dalam perjalanan, Nizam meminta kenderaan berhenti di stesen minyak di Sungai Putat untuk membuang air,” katanya.


Bagaimanapun, kata Zamri, adiknya yang ketika itu memakai pakaian seragam tentera terus mengambil wuduk dan kembali menuju ke kereta, tetapi tidak memasuki kenderaan itu, sebaliknya terus berjalan ke arah jalan raya.

“Rakan yang menyedari tindakan pelik Nizam cuba mengejarnya, namun dia terus menuju ke arah jirat Cina terletak kira-kira 500 meter dari stesen minyak itu sebelum gagal dikesan,” katanya.


Ibunya, Jamilah Mahadi, 66, berkata, dia dan suami, Majid Jadi, 74, dimaklumkan mengenai kehilangan anak bongsu daripada lapan beradik itu selepas empat anggota tentera terbabit datang ke rumahnya di Felda Sungai Kelamah, Negeri Sembilan, jam 5 petang kelmarin.

“Seorang daripada mereka bertanya sama ada anak saya ada pulang ke rumah sebelum saya terus menangis dan menghubungi anak lain apabila anggota berkenaan mengatakan Nizam hilang ketika dibawa menerima rawatan akibat kemurungan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Bagaimanapun, katanya, dia hairan apabila dimaklumkan anak bongsunya gelisah dan menghadapi tekanan perasaan memandangkan sebelum ini tiada perubahan sikap ditunjukkannya ketika kali terakhir pulang ke kampung pada cuti Tahun Baru Cina, minggu lalu.


“Ketika itu dia kelihatan gembira, malah sempat membawa tunangnya membeli barang hantaran dan menempah pakaian perkahwinan.


“Dia memang pendiam, tetapi jika ada masalah pasti akan memberitahu saya.


“Malah, dia sempat menghadiri majlis tahlil di rumah tunangnya pada 23 Januari lalu sebelum pulang ke Kem Bukit Beruang pada keesokan hari,” katanya.


Jamilah berkata, kali terakhir anaknya itu menghubunginya pada 24 Januari lalu menyatakan selamat tiba di kem, namun mulai bimbang apabila sejak hari itu tiada khabar berita dan panggilan telefon juga tidak dijawab.


Sementara itu, Pegawai Ops Bantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka, Mohd Kamil Hassan berkata, operasi mencari Mohd Khairul Nizam mula dilakukan jam 8.45 malam kelmarin membabitkan 60 anggota dan sehingga jam 9 malam tadi, dia masih belum ditemui.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: