![]() |
| KASUT but melengkapkan imej Rock n Roll yang digayakan Awi. |
SEGAK berjaket dan berkasut but, imej Awi Rafael itu seolah-olah sudah sebati dengan dirinya dan agak canggung jika tiba-tiba melihatnya bergaya tanpa kedua-duanya.
Tidak kira ketika membuat persembahan atau menjalani pengambaran klip video, pelantun lagu Pulanglah ini setia dengan imej ala Rock n Roll itu.
"Kawan-kawan saya akan buat muka pelik jika lihat saya tiba-tiba memakai kemeja-T biasa dan menyarung kasut sneakers malah akan ada yang kata saya nampak selekeh.
"Sebenarnya tidak selekeh pun, tetapi mungkin gaya berjaket dan berkasut but itu sudah menjadi 'darah daging' saya kerana sudah lama saya berimej sebegitu.
"Sumber inspirasi saya ialah Elvis Presley kerana selain bakatnya, dia amat menitik berat pemakaiannya dengan jaket kulit berkolar besar terutamanya ketika membuat persembahan," jelas Awi ketika ditemui di butik Morning Rocket Distro, Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Anak kelahiran Singapura ini tidak segan mengakui yang dia sudah berhabis ribuan ringgit kerana kegilaannya itu dan kini memiliki 28 helai jaket serta 12 pasang kasut but.
Selain memberi gaya yang tersendiri dan menarik, apa yang membuatkan Awi meminati jaket dan but terutama yang diperbuat daripada kulit adalah kerana ia tahan lama jika dijaga dengan rapi.
Ceritanya lagi, makin mahal usia jaket kulit yang berjenama, makin tinggi nilainya kerana orang ramai menyukai barangan vintaj.
KesayanganJaket kulit kelabu antara yang termahal miliknya kerana diperbuat daripada kulit lembu, jadi ianya lebih lembut serta tidak panas.
Jaket baldu hitam dengan garisan luar berwarna emas ala seragam tentera juga menjadi antara kesukaannya kerana ditempah khas dengan seorang pereka fesyen.
Namun, Awi tidak meletakkan kriteria mahal dan berjenama sahaja dalam memenuhi kehendak gayanya kerana baginya, asalkan pandai bergaya, baju tidak berjenama pun akan nampak mahal.
"Jaket yang paling saya gemar sebenarnya jenis denim yang dibeli di kedai biasa di Ipoh yang kemudian saya tampal dengan lambang atau corak yang mencerminkan minat saya," katanya.
Imej yang ditampilkan Awi itu juga memberi rezeki kepadanya apabila menarik perhatian Morning Rocket untuk menajanya menggayakan jaket-jaket butik itu seperti jaket merah yang dipakainya dalam klip video Pulanglah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: