Saturday, February 11, 2012

Farhana mahu jadi guru tari


FARHANA bukan sahaja mahu bergelar penyanyi tetapi juga seorang guru tari.


BAKATNYA dalam bidang nyanyian mula dikesan sejak berumur tiga tahun lagi dan meningkat dewasa, gadis ini sering menjadikan pertandingan nyanyian sebagai landasan untuk mendapat pandangan professional.

Bagi dirinya tiada erti putus asa dalam mencari peluang walaupun saban kali menemui kegagalan.

Menurut Farhana Mohamad, 26 atau lebih mesra dipanggil Fara, dia sebenarnya sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejak dari bangku sekolah lagi.

Antara kenangan paling manis adalah untuk memenangi pertandingan karaoke anjuran majalah Hai pada 2010.

“Saya mengunakan segala peluang dan ruang yang ada termasuklah memasuki pelbagai pertandingan nyanyian.

“Bagaimanapun pada tahun 2010 saya memenangi pertandingan karaoke anjuran majalah Hai yang antara hadiah utamanya adalah untuk menerbitkan sebuah single bersama komposer terkenal Julfekar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berasal dari Muar Johor, Fara memberitahu dia lebih meminati genre pop kerana ia lebih sesuai dengan dirinya yang suka menari ketika melakukan persembahan.

“Saya merupakan seorang yang agresif.

“Walaupun mempunyai badan yang agak gempal, saya tetap tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menari ketika mengadakan persembahan,” katanya.

Menjadi seorang penyanyi di sebuah kelab malam di Johor Bahru ketika ini, Fara mengakui agak sukar untuk dirinya menguruskan karier jika terus berada jauh dari Kuala Lumpur.

“Saya mengambil keputusan untuk terus berada di Johor Bahru sehingga kini kerana tidak mahu tergopoh-gopoh, selain itu juga karier sebagai penyanyi kini tidak menuntut saya untuk berada di Kuala Lumpur selalu.

“Bagaimanapun jika jadual sebagai penyanyi pada masa hadapan lebih padat saya juga tidak teragak-agak untuk berpindah,” jelasnya.

Sudahpun mempunyai dua single pertama bertajuk Jalan Hidup Ini pada tahun 2010 dan terbaru Sudut Kasih yang di keluarkan pada tahun lepas, Fara berharap agar perjalanan kariernya ini akan terus dipermudahkan.

“Mungkin ramai yang tidak sedar dengan kehadiran saya dengan single pertama dahulu, saya juga kurang pasti di mana kesilapannya sehingga nama saya terus tenggelam.

“Bagaimanapun saya berharap dengan single kedua ini harapan saya untuk mendapat tempat di lapangan hiburan negara akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ternyata impian gadis ini tidak hanya terbatas kepada bidang nyanyian sahaja apabila Fara turut menyimpan angan-angan untuk dikenali sebagai seorang guru tari suatu hari nanti.

“Jika segalanya mengikut perancangan saya akan membuka sebuah studio tarian.

“Selain itu juga studio ini juga akan dijadikan sebagai pusat latihan nyanyian untuk bakat-bakat baru lain yang juga ingin mencari peluang seperti saya,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: