|
|
SEWAKTU Pameran Motor Los Angeles 2010, pengeluar kenderaan premium Mercedes-Benz mengumumkan kolaborasi bersama pengeluar motosikal berkuasa tinggi Itali, Ducati. Ia membabitkan perjanjian penajaan Ducati MotoGP.
Setahun kemudiannya, di Pameran Motor Bologna di Itali, kedua-dua pengeluar itu menampilkan jentera masing-masing dengan pengunaan cat kuning pada model Ducati Streetfighter dan Mercedes-Benz SLK 55 AMG.
Kerjasama antara kedua-dua pengeluar itu tidak terhenti di situ sahaja, ia dibuktikan lagi pada Pameran Motor Antarabangsa ke-64 di Frankfurt, Jerman pada September tahun lalu.
Pada waktu itu, model Ducati Diavel diadun dengan komponen Mercedes AMG. Motosikal edisi khas itu dinamakan Ducati Diavel AMG. AMG merupakan unit penalaan prestasi Mercedes-Benz.
Selepas hampir lima bulan menanti, akhirnya model baharu itu diterbangkan khas ke Malaysia untuk tontonan pengguna tempatan. Model tersebut merupakan unit prebiu dan ia ditempatkan di Ducati AMG Performance Centre di Bangsar, Kuala Lumpur.
Diavel AMG dibina berdasarkan model Diavel Carbon 2012 dan dipasang dengan rim lima jejari AMG. Rim aluminium itu dihasil menerusi proses tempaan yang mampu mengurangkan berat sebanyak 2.5 kilogram.
Motosikal itu juga disertakan bersama komponen AMG yang lain. Misalnya, bahagian gril radiator lateral gentian karbon. Komponen gentian karbon juga dikenakan pada panel tangki minyak dan mudguard hadapan untuk mengurangkan berat jentera, sekali gus menonjolkan DNA perlumbaan Ducati.
Bahagian sisi kanan jentera dipasang dengan sistem ekzos sport AMG. Sementara bahagian atas jentera menempatkan rekaan tempat duduk menggunakan fabrik kulit Alcantara dan signatur nombor tersendiri di atas tangki petrolnya. Nombor itu lazimnya terdapat pada barisan produk Mercedes-Benz AMG.
Diavel AMG kelihatan garang dengan dominasi warna matte black pada tubuhnya dan kerangka disaluti warna Diamond Bright White Mercedes.
Pengurus Besar Ducati Malaysia, Juan Chow Wee berkata, daripada lima unit yang diperuntukkan untuk pasaran Malaysia, tiga daripada jentera yang berharga RM193,999 seunit itu sudah pun ditempah.
Dilengkapi enjin Ducati Testastretta 11° bersesaran 1198.4cc, jentera itu berupaya menjana 162 kuasa kuda @ 9,500rpm dan tork maksimum 127.5Nm @ 8,000rpm.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: