Tuesday, February 7, 2012

Clarins ceriakan rumah anak yatim


SETIAP penghuni rumah anak yatim menerima bekas pensel yang dihiasi dengan gambar pelbagai jenis haiwan.


KANAK-KANAK dari tiga buah rumah anak yatim, Rumah KIDS, Klang, Rumah Shalom, Puchong, Selangor dan Sanctuary Care Centre, Setapak, Kuala Lumpur tidak lekang dengan senyuman apabila menerima kunjungan kakitangan Clarins sempena kempen amal anjuran produk tersebut.

Pelbagai aktiviti menyeronokkan diadakan dan semua penghuni rumah kebajikan tersebut ternyata gembira apabila kakitangan Clarins meluangkan masa bersama-sama mereka.

Tidak lupa, kanak-kanak itu juga diberikan set alat tulis dan bekas pensel Clarins We Care setiap seorang.

Menerusi kempen berkenaan, Clarins menyumbangkan RM35,000 kepada ketiga-tiga buah rumah anak yatim tersebut. Ia merupakan hasil kutipan sepanjang kempen itu yang berlangsung dari 1 November sehingga 31 Disember lalu.

Saban tahun Clarins menerajui usaha murni itu bertujuan memperbaiki kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Berpegang kepada iltizam bahawa projek amal itu mampu memupuk dan membina generasi lebih cemerlang, ia juga diharapkan dapat memberi sinar kepada mereka menempuh masa depan yang penuh liku.

Pengurus Besar Clarins, Tan Seong Teck berkata, Clarins We Care merupakan saluran bantuan buat kanak-kanak yang memerlukan sokongan dan galakan pendidikan.

"Walaupun sumbangan kami tidak terlalu besar namun, ia sedikit sebanyak dapat meluaskan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran mereka terhadap pendidikan.

"Kami percaya, pendidikan adalah bekalan untuk mencorakkan masa depan mereka agar lebih terjamin. Clarins berusaha mendekati sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan selaras dengan falsafah kami iaitu menjadikan kehidupan lebih indah," jelasnya.

Sebelum kunjungan itu diadakan, kempen pengumpulan dana menyaksikan Clarins berusaha keras menjual bekas pensel yang diperbuat menggunakan bahan mesra alam dan dihiasi gambar pelbagai haiwan yang menarik.

Pemilihan penjualan bekas pensel itu dibuat berdasarkan faedah dan pelajaran yang boleh didapati kanak-kanak tentang kebaikan kitar semula.

Haiwan yang terpilih menghiasi bekas pensel itu ialah gajah, harimau dan orang utan. Menariknya, setiap haiwan itu membawa mesej tersendiri yang juga menjadi informasi berguna buat kanak-kanak.

Gajah menjadi simbol agar kita sentiasa berjimat dalam penggunaan air, harimau pula diletakkan sebagai pengantara penjimatan tenaga, manakala orang utan menjadi lambang kepentingan kitar semula.

Selain memberikan sumbangan berbentuk alat tulis, Clarins turut menggunakan dana yang berjaya diraih bagi melengkapkan perpustakaan ketiga-tiga rumah anak yatim berkenaan dengan meja, kerusi, rak buku, alat bantuan pelajaran, buku-buku dan komputer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: