Tuesday, February 7, 2012

Festival hidupkan tradisi Terengganu

PASANGAN pengantin ceria kerana diraikan dalam acara penuh tradisi.


ASAS ketamadunan sesebuah negara dibentuk daripada sejarah lampau. Ia hadir bersama acuan, kehidupan serta budaya masyarakat setempat. Kemudian, kehidupan dan budaya itu dikembangkan mengikut hukum alam. Semuanya mengambil kira sentimen masyarakat dan ajaran agama yang dianuti.

Dari sekecil-kecil komuniti sehingga ke takhta pemerintah, budaya itu dijaga rapi yang akhirnya menjadi istilah tradisi bagi masyarakat moden.

Hakikatnya, telur merah, nasi semangat, rakit darat, golek rim dan kaki tiga mungkin sangat janggal pada pendengaran umum.

Malah, tradisi Terengganu itu yang pernah menjadi resam hidup nenek moyang di negeri ini telah lenyap dimamah kemodenan.

Atas dasar itu dan demi memulihkan semangat generasi moden, satu festival dikenali sebagai Festival Budaya Gemilang Kuala Nerus, Terengganu telah diadakan baru-baru ini.

Menjadikan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Seberang Takir Kuala Terengganu sebagai lokasi festival, ia bertujuan menggalakkan pelancong-pelancong luar mengikuti pakej-pakej pelancongan di samping mempromosi program festival melalui produk tempatan.

Festival itu adalah anjuran DWau Holidays Travel Sdn. Bhd. dengan kerjasama Parlimen Kuala Nerus dan Tourism Malaysia

Sepanjang dua hari festival diadakan, pelbagai acara kebudayaan dipersembahkan. Antaranya termasuklah tarian, majlis persandingan dan sukan rakyat.

Paling menarik, ada kalangan pengunjung yang mengakui pernah mendengar amalan-amalan tradisi seperti permainan tradisional dan tarian, namun tidak pernah mengenalnya secara dekat.

Rakit darat, gelek ring

“Jika bukan sebab festival ini, saya mungkin tak tahu apa itu rakit darat, gelek ring. Biasanya, saya hanya main bola atau tengok televisyen pada masa lapang,” ujar Mohd. Adli Mohd. Nor, 15.

Jelasnya, permainan tradisional sebenarnya menarik tetapi sayangnya tidak ramai generasi muda yang tahu tentangnya.

“Kalau main bola, kita cuma rasa nak menang saja tapi permainan tradisional ini walaupun tak menang kita tetap gembira.

“Sebabnya corak permainan itu sendiri menyeronokkan dan akan membuatkan kita ketawa apabila melihat ragam kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Norfarizatul Ain Brooli@Yusof, 16, memberitahu, sukan tradisi itu perlu diterapkan semula dalam kalangan masyarakat muda dan diadakan dengan lebih kerap.

“Sebelum ini saya memang tidak tahu wujudnya permainan tradisi ini dan ia sesuatu yang menyeronokkan kerana kami bermain tanpa tekanan.

“Menang atau kalah kami tidak kisah. Malah anggota kumpulan pun bercampur dengan kampung-kampung lain menandakan keakraban yang boleh dijalin melalui sukan tradisi ini,” katanya.


TELUR merah dan pulut kuning antara tradisi Terengganu yang semakin dilupakan.


Pasangan pengantin baharu, Mahadir Abdullah, 25 dan Nurul Azma Asli, 25, teruja apabila mereka terpilih untuk bersanding bersama tiga pasangan lagi dengan cara yang penuh tradisi.

“Pelamin yang dibina dihias dengan indah dan walaupun bukan corak moden digunakan.

“Pada masa sama, majlis kami turut diserikan dengan tarian tradisional dan salah satu yang menarik ialah telur merah yang diletakkan pada nasi semangat (pulut kuning) yang hanya muncul dalam tradisi perkahwinan masyarakat Terengganu,” kata Nurul Azma.

Sementara itu, penjelasan mengenai mengapa telur merah yang direbus dengan cara biasa tetapi direndam dengan pewarna merah selama sejam sebelum diletak pada bunga telur itu ialah kerana ia melambangkan semangat baharu kehidupan berumah tangga untuk pasangan pengantin.

Semakin dilupakan

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri memberitahu, remaja hari ini banyak bermain dengan teknologi menyebabkan mereka kurang bersosial.

“Namun berbeza dengan permainan dulu yang melibatkan ramai dalam masa sama ia boleh mengeratkan silaturrahim,” katanya.

Sehubungan itu, kesenian yang semakin dilupakan ini perlu dihidupkan semula dan melihatkan festival yang mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak itu akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kehadiran orang ramai sangat memberangsangkan dan majlis yang diatur berlangsung cukup meriah.

“Jika terus mendapat sokongan seperti ini kita akan adakan lagi festival ini pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: