Thursday, February 2, 2012

Chomel Fana Tidak Bercinta Dengan Bos Di KRU

Chomel Fana selesa dengan status solo demi perkembangan kerjaya seninya.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Chomel Fana mengakui tidak lagi menjalinkan hubungan istimewa dengan Naib Presiden Produksi KRU Media, Russell Mark Rodrigues seperti yang pernah didakwa sebelum ini.

Chomel atau nama sebenarnya Noorhanis Farhana Shaharuddin, 26, bagaimanapun berkata hubungan yang bersemi selama empat bulan itu hanya sebagai teman rapat.

Hakikatnya dia menghormati lelaki kacukan Australia-Portugis itu sebagai ketua di bahagian penerbitan program yang di acarakannya iaitu Carta Blockbuster di KRU TV.

“Kami memang pernah akrab sebelum ini selama kira-kira empat bulan. Bagaimanapun, saya menganggap hubungan itu sebagai teman rapat dan tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang didakwa.

“Secara kebetulan pula dia adalah ketua bahagian produksi program yang saya hoskan iaitu Carta Blockbuster di KRU TV, sebab itu kami rapat,” katanya kepada mStar Online.

Chomel dan Russell pernah intim selama empat bulan.

Ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya dia bernaung di bawah KRU Music kerana hubungan itu, Chomel berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana dia terlebih dahulu disunting oleh KRU sebelum Russell menyertai syarikat berkenaan.

“Kalau ada yang mendakwa saya dibawa masuk ke KRU kerana kronisme maka dakwaan itu adalah tidak tepat,” katanya.

Mengakui dia kini selesa bergerak solo, Chomel berkata keutamaannya kini adalah untuk mengembangkan kerjaya seni, selain memantapkan lagi namanya di persada hiburan tanah air.

“Lebih selesa solo dan tiada teman istimewa kerana saya boleh fokus pada kerjaya yang sedang berkembang.

“Saya juga sudah menceburi bidang nyanyian menerusi lagu ‘single’ berjudul BFF ciptaan Edry Abdul Halim dan mahu mempromosikan lagu itu secara meluas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: