Sunday, February 12, 2012

Cegah sebelum parah

BUDAYA BAWA RISIKO... mengunyah daun sirih bersama tembakau dan buah pinang.
BUDAYA BAWA RISIKO... mengunyah daun sirih bersama tembakau dan buah pinang.
TAHAN TERIK... perlindungan daripada sinaran matahari kurangkan risiko barah.
TAHAN TERIK... perlindungan daripada sinaran matahari kurangkan risiko barah.

PENGGEMAR daun sirih, anda dinasihatkan menghentikan tabiat mengunyah daun itu berikutan mempunyai kesan tidak baik terhadap tubuh selain mampu meningkatkan risiko barah mulut.

Ya, mungkin masih ramai tidak tahu tabiat itu mampu mengundang barah mulut disebabkan ia tidak berbahaya seperti barah payudara, barah rahim dan penyakit jantung yang menduduki carta teratas antara penyakit yang boleh menyebabkan kematian di dunia.

Barah mulut adalah penyakit malignan yang meliputi bibir, lantai mulut, bahagian dalam pipi, lidah dan gusi. Lebih 90 peratus kes barah mulut membabitkan lapisan luar mukosa mulut yang dikenali sebagai karsinoma sel skuama.

Menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung & Tekak (ENT) Pusat Perubatan Tropicana, Dr Balachandran Appoo, barah mulut disebabkan ketumbuhan tisu tidak normal di dalam kawasan mulut serta boleh merebak dengan pelbagai cara yang mengakibatkan gangguan untuk makan, sukar untuk menelan yang akhirnya seseorang itu mati akibat badan kekurangan air dan kelaparan.“Di Malaysia, kaum India antara yang paling ramai menghidap barah mulut, diikuti Orang Asli, Melayu dan Cina. Jangan ambil ringan barah mulut kerana ia mampu membawa maut jikalau lambat mendapatkan rawatan.


“Biasanya, umur 40 tahun ke atas berisiko mendapat barah ini. Meskipun barah mulut penyakit membunuh, ia boleh dirawat pada peringkat awal,” katanya sewaktu ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.


Tanda barah mulut

  • Sakit yang berlanjutan
  • Luka yang besar hingga makan saraf
  • Susah mengunyah
  • Susah membuka mulut
  • Susah bertutur
  • Mulut berdarah
  • Ketumbuhan dalam mulut (susah telan pepejal, air liur)
  • Bengkak pada rahang, leher lebih tiga minggu
  • Tiada selera makan dan berat badan menurun
  • Ulser mulut yang tidak sakit dan tidak sembuh selepas rawatan
  • Ulser mulut tidak sembuh lebih tiga minggu

    Punca barah mulut

  • Merokok
  • Pengambilan alkohol
  • Mengunyah sirih bersama tembakau dan pinang
  • Pendedahan di tempat kerja yang membabitkan bahan kimia
  • Genetik


    Cara mengurangkan risiko barah mulut

  • Buat pemeriksaan berkala di klinik
  • Lakukan pemeriksaan barah sendiri
  • Tidak mengambil atau mengunyah tembakau
  • Tidak merokok
  • Tidak minum minuman alkohol
  • Kurangkan pendedahan kepada sinaran matahari


    Rawatan

  • Pembedahan
  • Radioterapi
  • Kemoterapi

    Pembedahan biasanya membabitkan pembuangan kanser dan sebahagian tisu yang sihat di sekelilingnya. Ini kerana barah adalah penyakit yang mikroskopik iaitu ada sel kecil yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

    Ada kemungkinan sel kecil tidak dapat dilihat di sekitar sempadan kanser itu. Pembedahan turut membabitkan sel yang sihat ini turut membuang nodul limfa pada bahagian leher yang dijangkiti kanser.

    Rawatan pembedahan biasanya dilakukan untuk merawat kanser yang berada pada tahap awal dan sederhana dengan pembuktian tiada sel kanser merebak ke bahagian organ lain.

    Bagaimanapun, bagi jenis kanser yang merebak jauh pada kawasan lain tubuh, penggunaan radioterapi digunakan selepas pembedahan. Ini bertujuan mematikan sel kanser yang dikhuatiri masih tertinggal.


    Radioterapi

    Penggunaan radioterapi akan dilakukan jika kanser terlalu besar menyebabkan pembedahan sukar dilakukan. Kaedah ini juga membantu mengecutkan kanser. Bagaimanapun, radioterapi mempunyai banyak kesan sampingan yang harus dijalani oleh pesakit.

    Contohnya, jika kanser pada bahagian lidah itu kecil (kurang 1.5 sentimeter), ia boleh dirawat dengan radioterapi tanpa pembedahan.

    Istimewanya radioterapi ini, ia tidak menyebabkan seseorang kehilangan anggota (lidah) dan fungsinya. Bagaimanapun, rawatan radioterapi tidak memberi apa-apa kesan pada kanser tulang, biasanya ia hanya dapat dibuang dengan kaedah pembedahan.


    Kemoterapi

    Kaedah menggunakan ubat-ubatan dalam tubuh ini dilakukan jika kanser sudah merebak ke organ lain seperti paru-paru dan hati, atau serentak dengan radioterapi.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: