Sunday, February 12, 2012

Tanda X jadi sasaran

MANTAP...ahli kelab Archery Expert dan pelapis pasukan Selangor mahu menempa nama di peringkat antarabangsa.
MANTAP...ahli kelab Archery Expert dan pelapis pasukan Selangor mahu menempa nama di peringkat antarabangsa.

FOKUS, lapangkan fikiran, tarik nafas dan lepas. Bunyi senang, tetapi hakikatnya bagi yang pertama kali cuba memanah, mereka pasti terkejut dengan cabaran sukan ini.

Bagi penduduk Shah Alam, Selangor terutama berhampiran Stadium Melawati, kelibat sekumpulan remaja lelaki dan wanita dengan penampilan seperti pahlawan moden beraksi di padang sasar Kompleks Boling Padang bukan lagi perkara asing.

Mereka yang juga remaja dan pelajar sekolah menengah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur adalah ahli kelab Expert Archery yang ditubuhkan Mohd Puzi Mohd Hanapiah, 57, pada 2007.

Yang membezakan mereka daripada ahli sukan lain ialah biarpun datang daripada latar belakang keluarga berbeza, semuanya memiliki satu persamaan.Membidik ke ‘Sasaran X’ menjadi matlamat mereka setiap kali turun ke padang sasar dan ia pencapaian terbaik seseorang pemanah.


“Tiada kata dapat gambarkan perasaan puas dan gembira apabila anak panah dilepaskan mengenai sasaran itu. Biarpun ‘X’ berada dalam bulatan kuning, pemanah akan mendapat 10 mata sempurna jika anak panah mengenainya.

“Jika tersasar tetapi anak panah masih mengenai bulatan kuning, hanya sembilan mata diperoleh. Namun bagi pemanah veteran yang tidak aktif dalam pertandingan seperti saya, bukan mata yang dikejar, sebaliknya kepuasan melihat bidikan anak panah mengenai sasaran X,” kata Mohd Puzi yang juga jurulatih Expert Archery.

Katanya, daripada aspek peraturan, sukan memanah mudah difahami iaitu dibahagikan kepada dua kategori recurve dan compound dengan sasaran bidikan kepada lima bahagian mengikut warna iaitu kuning, merah, biru, hitam dan putih.

Menurutnya, jika anak panah memasuki bulatan kuning tetapi tidak kena pada sasaran X, pemanah akan mendapat sembilan mata, manakala lapan dan tujuh mata bagi bulatan merah, lima dan enam mata (biru), empat dan tiga (hitam) serta dua dan satu untuk bulatan putih.

Bagaimanapun, katanya, tanggapan kebanyakan orang ialah sukan memanah mudah dimainkan seperti sering dilakukan hero dalam cerita ‘Robin Hood’.

“Sebaliknya, sukan memanah zaman sekarang bukan saja memerlukan kemahiran tinggi, malah kelengkapan serta aksesori digunakan juga serba canggih.

“Apapun, sukan ini boleh disertai semua lapisan masyarakat kerana untuk permulaan kos yang diperlukan tidak begitu tinggi. Ia hanya meningkat mengikut tahap skil seseorang,” katanya.

Bagi Hay Cheng Feng, 17, memanah antara sukan paling mencabar pernah disertainya dan memberi banyak manfaat bukan saja daripada aspek fizikal, malah kerohaniah.

“Ia menjadi faktor kenapa saya memilih sukan ini. Saya jatuh cinta pandang pertama ketika mencubanya buat kali pertama pada Mac 2008.

“Saya bernasib baik kerana ayah, Hay Quee Kee, 53, adalah kenalan lama jurulatih Mohd Puzi dan memberi peluang kepada saya menyertai Expert Archery,” katanya.

Sebelum memanah, Cheng Feng membabitkan diri dalam sukan gimnastik dan terjun serta pernah mewakili Selangor dalam gimnastik selama empat tahun dan terjun selama dua tahun.

Ketika berusia lapan tahun, Cheng Feng merangkul semua enam pingat emas dalam acara gimnastik di Kejohanan Mini Olimpik sebelum menukar haluannya kepada sukan memanah.

Berkat kegigihan dan bimbingan Mohd Puzi, Cheng Feng tidak menunggu lama untuk membuat impak apabila meraih lima pingat gangsa di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Klang pada 2009 dan satu emas serta satu gangsa di Kejohanan Olahraga Sukan Selangor (SUKSES) pada tahun sama.

Dia membaiki pencapaian itu dengan merangkul lima emas di MSSD Klang pada tahun berikutnya disusuli empat emas, dua perak dan johan keseluruhan MSSS serta empat emas dan satu gangsa di MSSM.
Kejayaan terbarunya tahun ini ialah meraih empat emas dan satu perak di SUKSES. Yang membanggakan, kejayaan itu dilakukan dengan bergaya apabila memecahkan keempat-empat rekod acara iaitu 90 meter (m), 70m, 50m dan 30m sekali gus dinobatkan Olahragawan SUKSES 2012.

“Impian saya ialah mewakili negara dan beraksi di pentas antarabangsa. Kini saya memberi tumpuan kepada kategori compound yang lebih mencabar daripada recurve.

“Saya berterima kasih kepada bapa dan ibu, Lim Lay Kim, 52, kerana sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada saya untuk terus berjaya dalam sukan ini,” katanya yang menjadikan pemanah terkemuka Amerika Syarikat, Reo Wilde dan atlet memanah negara, Lang Hon Keong sebagai idolanya.

Bakat dan minat sama dikongsi kakaknya, Hay Yan Xiang, 18, yang turut beralih arah daripada sukan polo air kepada memanah pada penghujung tahun lalu.

Yan Xiang pernah merangkul pingat gangsa di Sukan Sea ke-26 di Indonesia dan pingat perak di Sukan Malaysia (Sukma) bersama pasukan polo air kebangsaan dan Selangor pada tahun lalu.

Dia mencuba sukan memanah buat kali pertama pada 24 Disember tahun lalu dan hasil tunjuk ajar Mohd Puzi, bakatnya terserlah pada pertandingan pertama disertainya 12 Januari lalu dengan merangkul pingat perak dan menduduki tangga keempat keseluruhan di Kejohanan Olahraga Sukan Selangor (SUKSES) 2012.

“Saya galakkan rakan sebaya, terutama wanita, supaya menyertai sukan memanah kerana melaluinya dapat membantu mengawal emosi, tekanan dan fokus serta
tidak memerlukan sentuhan fizikal.

“Ia boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Saya bercita-cita mewakili negara dan beraksi di kejohanan Piala Dunia satu hari nanti,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi dua lagi rakan memanahnya, Muhammad Nur Afiq Rafar, 14, dan Mohamad Syahir Zainal Abidin, 18, yang menyifatkan sukan ini sesuai disertai golongan remaja seperti mereka kerana secara tidak langsung dapat mendisiplinkan diri dan mengelak terbabit aktiviti tidak bermanfaat.


PROFIL

NAMA: Hay Yan Xiang
UMUR: 18 tahun
ASAL: Selangor
PASUKAN/KELAB: Selangor, Kelab Expert Archery
PENCAPAIAN: Pingat perak dan keempat keseluruhan Kejohanan Olahraga Sukan Selangor (SUKSES) 2012, pingat perak Sukan Malaysia (Sukma) 2011 dan pingat gangsa Sukan SEA 2011


PROFIL

NAMA: Hay Cheng Feng
UMUR: 17 tahun
ASAL: Selangor
PASUKAN/KELAB: Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Shahbandaraya, Kelab Expert Archery
ACARA: Recurve dan Compound
PENCAPAIAN:
2009 - Lima pingat gangsa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD), dua pingat gangsa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS), satu pingat emas 70 meter dan satu pingat gangsa 30 meter Kejohanan Olahraga Sukan Selangor (SUKSES)
2010 - Lima pingat emas MSSD, empat pingat emas, dua pingat perak dan johan keseluruhan MSSS, empat pingat emas dan satu pingat gangsa MSSM
2011 - lima pingat emas MSSD, empat pingat emas dan empat pingat perak MSSS, empat pingat emas dan tiga pingat perak MSSM
2012 - empat pingat emas dan satu pingat perak SUKSES dan Olahragawan SUKSES 2012


PROFIL

NAMA: Mohamad Syahir Zainal Abidin
UMUR: 18 tahun
ASAL: Pulau Pinang
PASUKAN: Selangor
ACARA: Recurve
PENCAPAIAN: Johan berkumpulan Olimpik Kejohanan Olahraga Sukan Selangor (SUKSES) 2012 dan Johan Kejohanan Sekolah Berasrama Penuh 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: