Sunday, February 12, 2012

Cara Nora rehatkan badan




Datuk Paduka Toh Puan Seri Diraja Noor Aini Abdullah tidak menyedari mempunyai penyakit tekanan darah tinggi sehinggalah beliau berjumpa doktor kerana sering sakit kepala.

"Ketika itulah, doktor memberitahu saya mempunyai penyakit darah tinggi dengan kadar tekanan melebihi 120 dan mempunyai risiko strok jika lambat mendapatkan rawatan.

"Memang doktor sangat risau tentang keadaan saya. Kemudian saya diberikan ubat," katanya yang hanya menyedari menghidap penyakit itu hujung tahun lalu.

Noor Aini atau mesra dipanggil Nora cuba sedaya upaya melibatkan diri dalam aktiviti fizikal supaya kekal sihat di sebalik rutin sibuk yang dilalui beliau.

Namun, apabila jatuh sakit, Nora terpaksa menghentikan rutin fizikal sementara waktu.

Kebanyakan waktunya hanya dihabiskan untuk berehat. Tambahan pula, Nora sering mengalami sakit belakang.

"Pada waktu itulah saya diperkenalkan dengan sauna infra merah jauh (far infra red - FIR) Zazen oleh Yasotha.

"Sebelum ini, saya ada mengikuti sesi bersauna menggunakan sauna FIR tetapi tidak memilikinya di rumah mahupun melakukan sauna sekerap sekarang," katanya merujuk kepada rutin sauna secara aktif diikutinya sejak tiga bulan yang lalu.

Memikirkan yang beliau nyaris tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan anaknya sendiri pada November lalu kerana faktor kesihatan, Nora amat bersyukur kerana kesihatannya kini pulih dengan izin-Nya.

"Malah ramai yang memuji wajah saya kini lebih segar," ujar duta Zazen FIR ini.

Keseimbangan

Sejak memiliki FIR di rumah, Nora lebih rajin menggunakannya dengan rutin tiga kali seminggu, 30 minit setiap kali.

Beliau dapat merasakan banyak perbezaan khususnya dari segi penyakit yang dialaminya.

"Darah tinggi saya menurun. Saya juga ada mengalami masalah lain seperti otot tegang, sakit belakang dan tekanan. Kini, semua itu bertambah baik. Ia bukan mengubati penyakit tetapi ia memberikan masa kepada badan untuk berehat dan mencapai keseimbangan.

"Justeru badan kita mendapat peluang untuk membetulkan sistem," katanya yang sangat mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan.

Nora menambah, seseorang yang mengalami perpeluhan ketika berehat dalam sauna selama 30 minit juga menyamai aktiviti berlari sejauh enam hingga sembilan batu.

Apabila dilakukan dengan kerap, ia membantu kulit membuang toksin untuk awet muda.

Mandi bunga

Berkongsi rahsia kecantikannya, Nora mengamalkan petua mandi bunga.

Tidak ketinggalan, perunding etika dan protokol ini mengamalkan pemakanan sihat dan sederhana untuk mengelakkan kemudaratan.

Tidak seperti wanita lain yang mungkin banyak menghabiskan masa di pusat gim atau kecantikan, Nora menjadikan ibadat solat sebagai senaman hariannya.

Baginya, solat itu sendiri merupakan aktiviti fizikal semula jadi.

Nasihatnya pada wanita lain, supaya menjaga kesihatan sebelum sakit datang.

"Kita perlu mencari waktu untuk merehatkan badan dan memeliharanya. Kita kena ingat mencegah adalah lebih baik daripada merawat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: