SEWAKTU kecil Zarina Anis, 39, sentiasa berangan-angan untuk terbang di awan biru dari satu tempat ke satu tempat yang dianggapnya amat menyeronokkan dan pengangkutan yang paling dikaguminya tentulah kapal terbang.
Baginya, sebagai anak kampung dari keluarga yang sederhana dapat menaiki kapal terbang ketika itu seolah-olah satu perkara yang amat berprestij baginya sehinggakan dia bercita-cita untuk menaikinya satu hari nanti.
Setelah habis alam persekolahan dia merealisasikan impiannya dengan bekerja di sebuah syarikat pelancongan di kampungnya di Kuala Lipis, Pahang.
Biarpun hanya menjadi seorang kerani yang menguruskan soal tiket penerbangan bagi para pelancong yang mendapatkan khidmat agensinya namun impian Zarina untuk menaiki kapal terbang tidak pernah luput dari ingatan.
Dan, impian itu termakbul apabila Zarina yang mengumpul duitnya sendiri dapat menaiki kapal terbang buat kali pertamanya hanya ke destinasi dari Kuantan ke Kuala Lumpur dua tahun selepas bekerja di syarikat itu.
''Pengalaman menaiki kapal terbang amat bermakna buat saya. Sehingga sekarang saya menyimpan keratan tiket itu sebagai kenangan buat saya," ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.
Setelah beberapa buah agensi pelancongan disertainya dan pada tahun 2010, Zarina yang telah masak dengan pengalaman selama 16 tahun dalam bidang pelancongan akhirnya membuka sebuah syarikat pelancongan sendiri yang dinamakan Tetra Travel & Tours Sdn. Bhd.
Syarikat pelancongannya yang terletak di Jalan Putra Square 2, Malay Town, Kuantan, Pahang merupakan satu kebanggaan buat dirinya yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan sebelum dapat menubuhkan syarikat berkenaan.
Kini memegang status Pengarah di syarikatnya, Zarina sendiri mengetuai pelancong yang ingin bergerak secara berkumpulan berkunjung ke serata dunia.
''Banyak negara yang saya sudah kunjungi, Alhamdulillah impian saya untuk melancong sebagai hobi sejak dahulu lagi dan menaiki kapal terbang terlaksana.
''Biarpun membuka syarikat, saya sendiri pada awal pembukaan syarikat ini menguruskan soal tiket penerbangan kepada pelancong yang ingin berlanggan dengan syarikat ini. Paling banyak saya pernah membawa 80 orang pelancong kumpulan orang kenamaan di Pahang ke Jordan," katanya yang mempunyai sembilan orang kakitangan setakat ini.
Jelas anak sulung daripada tujuh adik-beradik ini, biarpun pelbagai cabaran yang diperoleh sepanjang pembabitannya dalam bidang ini seperti ditipu pelanggan, namun semua itu dianggap asam garam perjalanan kerjayanya dalam bidang pelancongan.
Kata Zarina, tidak ramai yang membuka syarikat pelancongan daripada kalangan orang Melayu. malah di kalangan itu juga tidak ramai daripada mereka wanita. justeru Zarina merupakan antara mereka yang berani memecah tradisi untuk menjalankan perniagaan berbentuk pelancongan.
''Biarpun persaingan banyak dalam bidang ini apa yang penting apabila kita dapat memberikan perkhidmatan dengan sebaiknya, pelancong akan sanggup mendapatkan perkhidmatan daripada kita lagi apabila mereka berpuas hati.
''Setakat ini semua pelanggan sentiasa mengatakan mereka amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang syarikat saya tawarkan," katanya.
Berstatus ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak, Ayu Qistina, 13, Afiq Qushairy, 12 dan Aadib Qayyum, 10 tahun, Zarina sentiasa mendapat sokongan ibunya, Rahmah Nong, 60, dan bapanya Anis Singgi, 70. malah dia beranggapan bapanya adalah penggalaknya yang utama sehingga dia berjaya seperti sekarang.
Selain menjadi pengusaha syarikat pelancongan, Zarina juga memiliki calet resortnya sendiri, dinamakan Pok Der Chalet di Teluk Cempedak, Pahang, selain van untuk digunakan sebagai city tour, melakukan pakej umrah, tempahan hotel dan kereta sewa, pakej pelancongan domestik, tawaran pelancongan secara berkumpulan dalam negara dan sebagainya.
Pendek kata, apa sahaja yang bersangkutan dengan pelancongan, Zarina boleh menguruskannya.
Lebih daripada itu menurut Zarina, dia merasakan bidang pelancongan mampu memberikan satu pulangan yang lumayan dan tidak lama lagi dia bercadang untuk membuka cawangan syarikatnya untuk beroperasi di semua negara.
''Tambahan sekarang trend para ibu bapa yang akan membawa keluarga dan anak-anak mereka bercuti setiap tahun menjelang hujung tahun atau setiap tahun.
''Jadi sekiranya anda ingin pergi bercuti jangan gusar, syarikat pelancongan ini akan menguruskannya untuk anda biarpun anda berada di negeri lain," katanya.
Tetra Travel & Tours Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 09-517 3711/12/13 atau 09-517 3717 untuk pertanyaan lanjut dan laman webnya ialah www.tetratraveltours.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: