Friday, February 17, 2012

'Bini marah jika tahu saya pergi'


ANGGOTA polis cuba menenangkan seorang lelaki yang mengamuk selepas sebuah pusat hiburan diserbu polis di Puchong, Selangor semalam.


PUCHONG - Seorang pemilik bengkel yang mempunyai perangai 'takut bini' sanggup mencederakan diri dan cuba merasuah polis dengan harapan dia tidak ditahan sekali gus dapat menutup tembelangnya mengunjungi premis hiburan daripada pengetahuan isterinya.

Bukan itu sahaja, lelaki itu turut memarahi anggota polis yang membuat serbuan sebelum berlari ke sana sini.

Dia juga cuba mencederakan dirinya dengan memecahkan botol-botol arak dan hendak merasuah RM150 kepada polis agar dia dilepaskan kerana bimbang akan dimarahi isteri jika kegiatannya terbongkar.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 35 tahun itu langsung tidak memberi kesan kepada sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang menyerbu premis berkenaan di Bandar Puteri di sini pada pukul 12.30 pagi semalam.

Ketua Unit D7 Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam Jaafar berkata, untuk meredakan keadaan, pihaknya terpaksa menahan lelaki itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Ketika serbuan dibuat, dia sedang minum arak bersama seorang rakannya dan bertindak agresif apabila pemeriksaan dibuat.

"Pada awalnya, rakannya cuba menenangkannya namun gagal apabila dia mula hilang kawalan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: