NAJWA Shahirah Sheikh Nasir, 24, dilahirkan sebagai anak perempuan tunggal dalam keluarga yang berada, namun kelebihan itu tidak menjadikan dia seorang yang manja dan enggan berusaha.
Sementelah dilahirkan dalam 'dulang emas' di mana semuanya telah tersedia di depan mata, sepatutnya dia tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu.
Tetapi gadis yang penuh karisma ini enggan menjadikan hakikat kehidupannya yang sebegitu sebagai batu loncatan mudah untuknya bergiat dalam lapangan perniagaan.
''Bapa mahu saya terus berusaha dan menyedari sendiri susah senang untuk bergiat dalam lapangan perniagaan agar saya boleh merasakan perit maung dunia perniagaan.
''Biarpun mengetahui sekiranya saya berhadapan dengan kesusahan, bapa sudah tentu ada untuk membantu, namun bantuan itu hanya akan saya ambil sekiranya menerima jalan buntu.
"Selagi masih ada cara untuk menanganinya saya akan terus berusaha," ujar gadis manis ini ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Masih belajar dalam tahun akhir jurusan Pemasaran Fesyen di Raffles Design Institute di Ampang, Kuala Lumpur, kursus yang diceburi sejak dua tahun lalu merupakan satu pemboleh ubah arah kehidupannya dalam mengatur strategi sebelum bergelar ahli perniagaan.
Bagi membuktikan kebolehannya dalam perniagaan, gadis yang senang dengan panggilan Najwa ini, sudah mempunyai perniagaan sendiri yang dijalankan secara maya bersama rakan kongsinya yang kini berada di United Kingdom.
''Telah dua tahun saya dan rakan kongsi mewujudkan sebuah laman web yang menjual pelbagai jenis aksesori dan fesyen. Namun memandangkan saya sibuk dengan pelajaran dan rakan saya itu berada di United Kingdom untuk menyambung pelajarannya di peringkat Ijazah Sarjana, blog kami itu agak perlahan promosinya," katanya lemah lembut.
Anak sulung yang mempunyai dua adik-beradik lelaki itu mempunyai laman blog sendiri iaitu nude and sultry yang memaparkan ciptaan berlandaskan warna-warna kulit.
Apa yang menariknya, karya dan hasil penciptaan diilhamkan sendiri oleh Najwa yang sering mencari idea dan inspirasi daripada Internet. Malahan aksesori yang diperagakan di blognya juga hasil ciptaan sendiri.
Bagi Najwa, aksesori yang dibuatnya berserta pelbagai jenis bahan-bahan lain yang dipaparkan di blog itu mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pencinta fesyen terbaru di negara ini.
Namun, ia masih belum boleh dijadikan kayu pengukur kejayaan yang pastinya tidak akan sama apabila berniaga butik atau kedai sendiri serta berhadapan dengan keadaan semasa.
Sebenarnya, Najwa bercita-cita untuk membuka butik sendiri dengan memaparkan perkhidmatan tempahan khusus atau custom made.
Maksudnya, Najwa akan menjahit sendiri tempahan baju yang dimahukan pelanggan di butiknya agar pelanggan mendapatkan cita rasa tempahan dengan tepat dan berpuas hati.
''Bagi merealisasikan cita-cita saya itu, saya perlu pandai menjahit dan kini saya sedang belajar menjahit untuk disesuaikan dengan kemahiran saya mereka cipta fesyen.
''Susah sikit kalau perniagaan berlandaskan butik semata, jadi saya rasa kalau ada tailor made pasti perniagaan itu menjadi, " kata anak kepada Azwana Mohammad, 48, seorang suri rumah, dan Sheikh Nasir Sheikh Hassan, seorang ahli perniagaan yang berjaya itu.
Jelasnya, biarpun jurusan yang diterokainya tiada kena-mengena dengan rekaan fesyen, namun dengan ilmu yang ada dalam bidang pemasaran fesyen, pastinya pengalaman itu tidak akan dipersiakan dalam mencari strategi untuk memasarkan perniagaan yang akan diterokainya nanti.
Selain butik, Najwa juga berkira-kira untuk membuka sebuah akademi dan butik khusus untuk pengantin tidak lama lagi.
Dalam rekaan fesyen, dia berhasrat untuk menggabungkan songket dan batik ke arah pemodenan dalam satu fesyen yang bersesuaian dengan cita rasa tempatan.
Blog Najwa boleh dilayari dengan nama nudesultry.blogspot.com, atau emel, shopnudesultry@gmail.com atau di twitter, najwashnasir@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: