Australia akan miliki teknologi imbasan termaju

MELBOURNE - Imbasan tubuh akan dijalankan di semua lapangan terbang antarabangsa Australia yang menyediakan teknologi imbasan penumpang paling maju, kata Menteri Pengangkutan Persekutuan Anthony Albanese hari ini.

Kerajaan akan membentangkan perundangan minggu ini berikutan kejayaan percubaan teknologi itu di Sydney dan Melbourne.

Teknologi bernilai AU$28 juta itu akan dilaksanakan di semua lapangan terbang berkenaan mulai Julai depan, kata Albanese dalam satu kenyataan.

"Mesin tersebut akan hanya menghasilkan garis kasar tubuh untuk menunjukkan lokasi barang logam dan bukan logam dalam pakaian," katanya.

Bagi melindungi privasi penumpang, imej akan muncul hanya sebagai lembaga kasar dengan itu lelaki dan wanita mempunyai garis kasar yang sama tanpa menunjukkan mana-mana bahagian badan.

Sebagai langkah tambahan, imej berkenaan tidak boleh dibuat salinan atau disimpan.

"Perundangan itu membenarkan pengecualian bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan serius, namun mana-mana penumpang yang diarah oleh seorang pegawai mesti menjalani imbasan dan keengganan untuk diimbas boleh mengakibatkan penerbangan dihalang," kata Albanese.

Kerajaan mengumumkan langkah-langkah tersebut pada 2010 bertujuan memperkukuh keselamatan penerbangan berikutan tercetusnya pelbagai peristiwa global.